Pelbagai usaha dilakukan pengeluar kereta untuk memenangi hati pengguna menjelang pelaksanaan sepenuhnya Kawasan Perdagangan Bebas Asean (Afta).
Ikuti luahan harapan pengeluar, pengguna dan persatuan pengguna ke atas pasaran automotif kepada wartawan MUNIR ANA’AM ZULJADAN dan SAIPUL ADLI MOHAMAD
KUALA LUMPUR: Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia (Fomca) mahu pengeluar kenderaan mengutamakan khidmat selepas jualan supaya pengguna tidak pulang dengan kereta baru yang bermasalah.
Ini berikutan aduan mengenai kereta baru yang mempunyai masalah meningkat setiap bulan yang sekali gus tidak mencerminkan kesungguhan pengeluar.
Pengarah Komunikasi Fomca, Yusof Rahman berkata: “Fomca tidak bising jika tidak ada aduan. Pengguna tidak ada saluran selain Fomca.
“Kita berharap pengeluar kereta tidak terlalu ghairah mengeluarkan model baru tetapi khidmat selepas jualan kurang baik.
“Adalah kurang adil bagi pembeli perlu berulang-alik ke pusat servis kerana masalah kecil pada kenderaan yang sepatutnya diselesaikan sebelum proses serahan.”
Menurutnya, penghasilan model baru di kalangan pengeluar kereta amat baik kerana memberikan pengguna pilihan untuk menilai sebelum membelinya.
Beliau berkata, kemunculan Proton Gen.2 1.6, Inokom Matrix 1.6 versi CKD dan Toyota Avanza MPV menunjukkan pengeluar memberikan peluang kepada pengguna memiliki kenderaan sesuai dengan kemampuan.
“Fomca melihat perkembangan ini sebagai sihat kerana lebih ramai pengguna akan berusaha mendapat kenderaan baru berbanding kereta terpakai.
“Pengguna akan membuat perbandingan di segi kadar faedah jika membeli kereta baru atau terpakai. Ansuran bulanan kereta baru lebih berbaloi,” katanya.
Sehubungan itu, kebarangkalian pengguna memilih membeli kereta baru akan membuatkan pasaran automotif meningkat sekali gus membantu ekonomi negara.
“Tapi, Fomca berharap pengeluar kenderaan mengutamakan pelanggan supaya pembeli mendapat manfaat sepenuhnya daripada urus niaga terbabit.
“Selain itu, Fomca juga berharap pengeluar memendekkan tempoh menunggu. Terdapat aduan mendakwa pelanggan perlu menunggu sehingga enam bulan sedangkan kereta import itu dipasang dalam negara,” katanya.
Sementara itu, katanya, Fomca turut ingin menasihati pengguna supaya tidak terlalu ghairah untuk memiliki kereta baru kerana mungkin menjerat diri sendiri.
“Dalam konteks ini, pengguna perlu memikirkan jangka panjang jika membeli kereta di luar kemampuan kerana pelbagai faktor mempengaruhi sara hidup,” katanya.
HARIAN METRO - 25 Oktober 2004
Tiada ulasan:
Catat Ulasan