KUALA LUMPUR, 13 Dis (Hrkh) - Kerajaan sewajarnya memikirkan jalan untuk meringankan bebanan rakyat bukannya terus menekan mereka dengan pelbagai pertambahan kos hidup, antaranya kenaikan 10 peratus kadar tol 1 Januari depan, kata Pengerusi Institut Pengemblengan dan Pembangunan Komuniti (Impak), Mahfuz Omar.
Katanya, kerajaan yang kerap melangkan slogan 'bekerja untuk rakyat', sewajarnya menangguhkan kenaikan kadar tol di Lebuh Raya Utara Selatan (Plus) yang diumumkan oleh Menteri Kerja Raya, S Samy Vellu, semalam.
Malah katanya, alasan yang diberi kerajaan bahawa kenaikan tersebut selaras perjanjian baru dimeterai antara Plus dengan kerajaan tidak boleh dibebankan kepada rakyat.
"Kepentingan rakyat perlu diutamakan daripada syarikat kerana rakyat hari ini telah dibebani dengan kenaikan pelbagai kos antaranya kenaikan harga minyak dan barangan keperluan lain," katanya.
"Ini bermakna jika kerajaan terus meluluskan apa saja kenaikan demi kepentingan sesebuah syarikat, laungan bekerja untuk rakyat adalah sia-sia," kata Mahfuz.
Katanya, sudah pasti langkah tersebut juga akan dipertikaikan rakyat terutamanya, kecekapan kerajaan dalam mengawal kenaikan harga barang yang menunjukkan kerajaan tidak serius.
"Ini disebabkan antara punca kenaikan barangan berpunca daripada tindakan kerajaan menaikan harga minyak dan tol sehingga 10 peratus, sekali gus pengusaha pengangkutan negara ini akan menuntut kenaikan kos perkhidmatan," katanya.
Ia juga sekali gus, akan menguatkan hujah pengusaha-pengusaha pengangkutan awam seperti bas, teksi dan lori meminta kenaikan tambang dan bayaran yang disuarakan mereka sebelum ini.
Malah dalam tempoh terdekat ini katanya, rakyat yang dibebani dengan kenaikan harga minyak sudah menanggung sengsaranya maka kenaikan tol nanti akan bertambah lagi kerumitan hidup mereka.
Tidak adil bebankan pengguna
Sementara itu Pengarah Komunikasi Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (Fomca), Mohd Yusuf Abdul Rahman berkata, secara dasarnya kenaikan kadar tol tersebut membebankan pengguna.
"Sebabnya kalau kita lihat sekarang ini kerajaan telah manambahkan perjanjian daripada 30 tahun kepada 40 tahun kemudian tempoh kajian semula kadar tolnya pula setiap tiga tahun.
"Cuba bayangkan dalam tempoh tersebut berapa kali penyemakan semula akan dibuat sehingga tempoh tahun 2042 nanti dan akibatnya pengguna terpaksa membayar kos yang terlalu tinggi," katanya.
Sehubungan itu katanya, amat tidak adil kos kenaikan dikenakan kepada pengguna.
Malah katanya, untuk kebaikan pengguna sewajarnya tempoh penyemakan dikaji balik agar tidak terlalu kerap berlaku kenaikan kadar tol.
"Bayangkan setiap tiga tahun kadarnya dinaikkan sehingga 10 peratus dan akhirnya pengguna terpaksa menanggung kesemua bebanan tersebut sedangkan keselesaan pengguna jarang diambil kira umpamanya keadaan jalan masih kurang memuaskan dan salah satu faktor kemalangan adalah faktor jalan itu sendiri," katanya.
Katanya lagi, apabila pengguna sudah kerapkali dibebani dengan bayaran tol yang tinggi sepatutnya kesesakan di lebuh raya juga tidak sewajarnya berlaku serta masalah teknikal lain tidak timbul, barulah munasabah kenaikan kadar tol dipertimbangkan.
Menurutnya kerajaan juga perlu mempertingkatkan jalan persekutuan, negeri serta jalan-jalan lain untuk mengelakkan pengguna dibebankan dengan bayaran tol di semua lebuh raya yang ada.
"Jika jalan-jalan ini dinaiktaraf pengguna ada altenatif untuk tidak menggunakan lebuh raya," katanya.
Beliau berkata, rakyat menanggung kos hidup yang tinggi akibat kenaikan harga minyak dan barangan baru-baru ini dan pada tahun baru ini pula mereka terpaksa membayar lebih untuk tol.
Katanya, kenaikan tersebut tidak sejajar dengan kenaikan gaji mereka pada tahun baru.
Ini katanya, pendapatan kebanyakan rakyat negara ini tidak seimbang dengan perbelanjaan hidup dan sebab itu kerajaan wajar mempetimbangkan keputusan tersebut demi kepetingan pengguna.
"Jika ini yang diambil kira kerajaan ia adalah sesuatu yang sangat baik," katanya lagi. - lanhHARAKAH - 13 Disember 2004
Tiada ulasan:
Catat Ulasan