LOGIKNYA, air di Malaysia yang mudah diperoleh adalah lebih murah daripada petrol. Namun, hakikatnya air mineral dan air minuman yang dibotolkan dan dijual di negara ini lebih mahal daripada harga petrol.
Malahan, perbandingan harga air mineral yang dijual di Malaysia dengan Arab Saudi yang terhad sumber air minumnya berbanding di negara ini, juga tidak memihak kepada Malaysia.
Lebih ketara lagi, apabila air minuman bukan mineral yang dibotolkan dijual pada harga yang hampir sama dengan air mineral; dan pengguna Malaysia seolah-olah tidak dapat membezakan antara air mineral dan air bukan mineral.
Apakah kos pengeluaran air mineral dan air minuman lain di Malaysia terlalu tinggi atau ada pihak mengambil kesempatan mengaut keuntungan lebih; atau para pengguna di Malaysia `buta' hak mereka sebagai pengguna.
Dalam Bahagian I laporan, wartawan-wartawan Utusan Malaysia SADATUL MAHIRAN RUSLI, NIEZAM ABDULLAH, ZAID MD. NOOR, SOPI SAMAILE, HAMIMAH HAMID, NIK KUSHAIRI IBRAHIM, ABD. MUIN SAPIDIN, MARKUS LIM dan ANAND KUMAR SELVAM mendedahkan permasalahan ini.
KUALA LUMPUR 8 Sept. - Hasrat kerajaan untuk mengkaji semula harga air mineral disokong pelbagai pihak kerana pada masa ini ia dianggap terlalu mahal.
Beberapa badan bukan kerajaan (NGO) yang dihubungi berpendapat, usaha itu akan memberi perlindungan kepada pengguna.
Pengarah Komunikasi Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA),Mohd Yusof Abdul Rahman berkata, harga air mineral dipasaran negara sekarang tidak munasabah.
``Harga sebotol air mineral lebih mahal daripada harga petrol dan apa yang menjadi perhatian kini ialah keuntungan yang diperoleh pengeluar keterlaluan,'' katanya.
Menurut Mohd Yusof, pengeluar boleh mengaut keuntungan tetapi mereka juga perlu memikirkan hak dan kepentingan pengguna.
Beliau juga meminta pengguna supaya tidak terlalu taksub dengan air mineral dan menjadikannya sebagai satu keperluan.
``Tahap keselamatan air yang dibekalkan ke rumah masih boleh diyakini dan oleh itu pengguna tidak semestinya hanya bergantung kepada air mineral sebagai sumber air minuman,'' ujarnya.
Sementara itu, Persatuan Pengguna Negeri Kedah (Cake) mendakwa harga air mineral yang dijual di negara ini bukan sahaja mahal malah harganya berbeza-beza mengikut pengeluarnya sehingga mengelirukan pengguna.
Presidennya, Yusoff Ismail berkata, Cake mempertikaikan harga air mineral yang berbeza-beza iaitu antara 90 sen hingga RM1.80 bagi setiap 500 mililiter.
Menurutnya, perbezaan harga air mineral itu agak jauh walaupun sumber bekalan air galian yang diperoleh syarikat-syarikat pengeluar air mineral tidak banyak perbezaan.
``Bagaimana harga air mineral berbeza dengan kadar yang tinggi sedangkan proses mendapatkan air mineral adalah hampir sama antara syarikat-syarikat pengeluarnya,'' katanya.
Setiausaha Agung Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Dr. Maamor Osman pula berkata, kerajaan perlu menetapkan satu garis panduan yang sesuai untuk menyelaraskan harga jualan air mineral.
``Pemantauan dari semasa ke semasa juga perlu supaya pengeluar tidak sewenang-wenang meletak harga,'' katanya.
Presiden Persatuan Pengguna Subang dan Shah Alam,Datuk Dr. Jacob George berkata, isu mengenai harga air mineral ini telah hampir lapan tahun dibincangkan namun tiada sebarang tindakan diambil oleh kementerian tersebut untuk menanganinya.
Jelasnya, walaupun pelbagai laporan serta kenyataan akhbar dikeluarkan dan disokong dengan kajian, isu ini seolah-olah tidak dihiraukan.
``Tiga kementerian termasuk Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan serta Kementerian Kesihatan harus menjalankan pemeriksaan mengejut ke atas pengilang bagi memastikan ketulenan air yang dikeluarkan itu,'' katanya.
Pandangan yang sama dilontarkan oleh Presiden Persatuan Pengguna Selangor dan Wilayah Persekutuan, Mohd. Yusof Abdul Rahim yang mahu kerajaan sentiasa memantau proses pengeluaran air mineral dan harga bahan itu agar pengguna tidak tertipu.
UTUSAN MALAYSIA - 9 September 2004
Tiada ulasan:
Catat Ulasan