KUALA LUMPUR, 1 Julai (Hrkh) - Gabungan Persatuan Pengguna-Pengguna Malaysia (Fomca) tidak menolak kemungkinan kemunculan semula para pengedar cetak rompak cakera padat (CD) dan cakera padat video (VCD) dalam pasaran negara ini apabila harga siling dibatalkan kerajaan.
Menurut Timbalan Setiausaha Agung Fomca, Indrani Thuraisingham, berkemungkinan besar selepas ini para pengedar CD dan VCD akan kembali aktif di pasaran.
Ini katanya, walaupun kerajaan mempunyai strategi dalam mengawal harga harta intelek sebagaimana dipersetujui dalam perjanjian Pertubuhan Perdagangan Sedunia (WTO) tetapi kementerian berkenaan tidak pun memberi kepastian bahawa gejala cetak rompak boleh dikawal.
"Sewajarnya dalam masa Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Dato' Shafie Apdal yang mengumumkan, pembatalan harga siling CD dan VCD, beliau juga perlu mengambil kira kebajikan pengguna di negara ini," katanya.
Katanya, biarpun sebelum ini dua orang menteri khasnya di era Tan Sri Muhyididn Yassin dan Dato' Seri Jamaluddin Jarjis mahukan harga CD dan VCD dikawal harganya, namun ia masih belum memperlihatkan impilikasinya lagi.
Oleh itu kata Indrani, mungkin disebabkan desakan ahli-ahli WTO sendiri yang tidak mahu lagi Malaysia kekal sebagai negara yang selalu mempunyai rekod buruk dalam mencetak rompak termasuk CD dan VCD kerana barangan tersebut termasuk dalam harta intelek yang menjadikan menteri sekarang terpaksa mengambil langkah yang tidak sehaluan dengan menteri-menteri sebelum ini.
Shafie hari ini dipetik sebagai berkata, kerajaan memutuskan pembatalan pelaksanaan harga CD dan VCD atas pertimbangan bahawa ia bukan barangan keperluan, sebaliknya boleh diperoleh melalui radio, televisyen, laman web dan Internet.
Sebelum ini harga siling barangan tersebut mendapat tentangan hebat daripada orang ramai, kerana dianggap terlalu mahal sehingga mencecah RM40.
Pada tahun lepas kerajaan menetapkan harga VCD tempatan dan antarabangsa yang dicetak di negara ini ialah RM14 berkuat kuasa 1 Januari lalu manakala RM21 untuk CD album artis rakaman tetapi ia dibantah oleh pengiat industri filem.
Bagaimanapun Kementerian menetapkan 1 Julai (hari ini) sebagai pelaksanaan harga baru tersebut namun ianya dibatalkan pula oleh menteri baru sekarang.
Sementara itu Indrani berkata, sememangnya barangan seperti CD dan VCD bukan barangan keperluan tetapi dalam dunia globalisasi dan Malaysia pula sebagai negara WTO mengawal kes salin semula hak milik harta intelek adalah satu tanggungjawab supaya pengguna membeli barangan tulen.
"Disebabkan kita sudah menjadi ahli WTO, kita kena akur dengan perjanjian yang kita meterai agar pengguna mendapat manfaat melalui perdagangan bebas sebaliknya kita banyak pula menghasilkan cetak rompak dan kalau boleh kementerian kena berusaha mengurangkan gejala cetak rompak," katanya.
Ini katanya, kesan tindakan kementerian yang membatalkan untuk mengawal harga siling CD dan VCD akan menyebabkannya kembali kepada harga asalnya iaitu antara RM30 hingga RM40 dan ia sekali gus mendorong 'perompak' barang tiruan berada di pasaran secara berleluasa.
"Sebab itu kerajaan kena maklumkan kepada pengguna bahawa pengedar barang tiruan tidak boleh memasuki pasaran di negara ini, walaupun harga siling tidak dikawal kerajaan tetapi ia kena imbangkan antara harta intelek dengan kebajikan pengguna," katanya. - mks.HARAKAH - 1 Julai 2004
Tiada ulasan:
Catat Ulasan