Jumaat, Disember 17, 2004

Rakyat menjadi mangsa dengan kenaikan harga minyak

Oleh Salmiyah Harun
KUALA LUMPUR, 1 Okt (Hrkh) - Kenaikan harga minyak seperti yang diumumkan dijangka akan menaikkan harga barangan keperluan dan rakyat bakal menjadi mangsa dalam situasi ini.

Menurut Pengurus Komunikasi Korporat Fomca, Yusof Abdul Rahman, selalunya harga barang akan turut naik apabila sebaik sahaja kerajaan mengumumkan kenaikkan harga minyak dan secara tidak langsung rakyat yang akan menjadi mangsa .

"Kebanyakkan peniaga akan menaikkan harga barang disebabkan kos pengangkutan mereka naik seperti petrol, untuk mengelakkan kerugian mereka terpaksa menaikkan harga barang," katanya.

Dalam pada itu, beliau juga meminta kerajaan meningkatkan mutu pengangkutan awam sebagai langkah membantu pengguna daripada terus terbeban dengan kenaikkan petrol itu.

Tambahnya, mungkin pengguna akan kembali kepada pengangkutan awam apabila tidak mahu terlalu terbeban dengan kenaikkan minyak dan juga tol.

"Pengangkutan awam yang sedia ada perlu beroperasi sebaik mungkin sebagai pengangkutan alternatif kepada mereka yang tidak mampu berbelanja lebih," katanya ketika dihubungi.

Selain itu, Yusof juga berkata, kerajaan hendaklah menyediakan sistem alternatif untuk menggantikan petrol, iaitu 'Nature Gas Vehicle' (NGV) sebagaimana yang digunakan oleh sesetengah teksi di negara ini.

Ini kerana katanya, harga NGV ini jauh lebih murah daripada petrol iaitu kira-kira lima puluh sen seliter.

"Di samping itu kerajaan juga hendaklah memainkan peranan dengan mempromosikan NGv itu untuk mengelak pengguna menjadi mangsa bebanan kenaikkan harga petrol, bahkan banyak perkara lain yang perlu dibayar oleh pengguna, semuanya bakal ditanggung pengguna," jelasnya.

Katanya, melalui tindakan ini kerajaan boleh mengurangkan bebanan pengguna, kerana tidak mungkin berlakunya penurunan harga minyak sebaliknya mungkin akan mengalami kenaikan lagi.

Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal ehwal Pengguna dalam kenyataannya semalam berkata, harga runcit baru petrol premium RON97 ialah RM1.42 seliter di Semenanjung, RM1.40 di Sabah dan RM1.41 di Sarawak manakala RON92 dijual pada harga RM1.38 di seluruh negara.

Kali terakhir harga runcit produk petroleum di stesen minyak dinaikkan adalah pada Mei lalu iaitu sebanyak dua sen seliter. - mks.

HARAKAH - 1 Oktober 2004

Tiada ulasan: