Jumaat, Disember 17, 2004

Pergerakan Pengguna Pekerja MTUC boikot barangan Ahad

KUALA LUMPUR 13 Okt. - Pergerakan Pengguna Pekerja Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (3P MTUC) akan melancarkan kempen boikot barangan di seluruh negara bermula Ahad ini.

Timbalan Presiden MTUC, Shafie BP Mamal berkata, pihaknya tidak akan berlembut lagi dan tetap akan mengadakan boikot tersebut walaupun mendapat bantahan daripada beberapa pihak.

``Kita akan kenal pasti barangan yang hendak diboikot berdasarkan aduan yang diterima daripada pengguna.

``Kita tidak akan bertolak ansur lagi dengan pembekal, pemborong dan peniaga yang menaikkan harga barangan secara melampau,'' katanya kepada Utusan Malaysia, hari ini.

Menurut Shafie, 3P MTUC memandang serius perkara itu dan akan memastikan kempen boikot tersebut berjaya.

``Kita bukan hendak tunjuk kuat, cuma ingin memastikan mereka yang bertindak melampau itu faham kesukaran yang dihadapi oleh pengguna.

``Pihak kami melakukan ini semua demi kepentingan pengguna, jadi kami akan memastikan kempen boikot ini dijalankan di seluruh Malaysia,'' ujarnya.

Dalam perkembangan yang sama, Shafie juga meminta semua pihak agar tidak memandang ringan perkara itu dan bersama membantu demi kepentingan pengguna.

Kempen boikot itu dirancang oleh 3P MTUC ekoran `pesta naik harga' oleh peniaga dan pemborong.

Kenaikan itu dikatakan berpunca daripada harga bahan api dinaikkan sebanyak 5 sen mulai 1 Oktober lalu.

Sementara itu, Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA), turut bersetuju dengan tindakan 3P MTUC untuk mengadakan kempen boikot `pesta naik harga.'

Pengarah Komunikasi FOMCA, Mohd. Yusof Abd. Rahman bagaimanapun menjelaskan, pihaknya masih menunggu maklum balas berhubung pemantauan harga yang dijalankan oleh ahli gabungan FOMCA di setiap negeri.

Beliau berkata, setakat ini hanya Persatuan Pengguna Pahang dan Pulau Pinang sahaja yang telah menghantar keputusan pemantauan harga yang dibuat dengan kerjasama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna.

``Kajian menyeluruh mengenai harga barang masih lagi dijalankan dan kita masih menunggu maklumat dari setiap negeri.

``Apabila kajian ini selesai, kita akan umumkan secepat mungkin untuk perhatian dan tindakan pihak yang terbabit,'' katanya.

Beliau berkata, selain pemantauan harga di setiap negeri, pihaknya juga kini sedang menjalankan kajian mengenai faktor-faktor yang menyumbang kepada ketidakstabilan harga barang terutamanya sayuran dan buah-buahan.

Setakat ini katanya, kemasukan barangan tersebut dari negara luar dengan harga yang mahal dikenal pasti sebagai antara punca kenaikan harga tersebut di pasaran.

UTUSAN MALAYSIA - 14 Oktober 2004

Tiada ulasan: