KUALA LUMPUR, 15 Sept (Bernama) -- Gabungan Persatuan Pengguna-pengguna Malaysia (FOMCA) Rabu mengesyorkan satu badan piawaian khas diwujudkan dalam usaha mewajibkan pengeluar barangan keperluan pengguna mendapatkan sijil pengesahan "halal" pada produk mereka.
Pengarah Komunikasi FOMCA, Mohd Yusof Abdul Rahman berkata sudah sampai masanya piawaian seumpama itu diperkenalkan kerana kebanyakan pengeluar produk mendapatkan sijil pengesahan "halal" dari Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) atas dasar sukarela dan bukan melalui penguatkuasaan.
Katanya, piawaian itu juga penting bagi memastikan pengguna-pengguna Islam tidak terdedah kepada risiko penggunaan barangan tidak halal dan diragukan terutamanya produk kosmetik dan penjagaan diri.
Beliau berkata buat masa ini piawaian yang diperuntukkan dalam Akta Perlindungan Pengguna 1999 hanya mewajibkan barangan elektrik mendapat pengesahan keselamatan dari SIRIM bagi keperluan memasarkan barangan itu ke luar negara.
"Tetapi kita tidak ada piawaian seumpama itu untuk barangan keperluan pengguna seperti makanan, minuman dan kita mahu melindungi sensitiviti pengguna Islam," katanya ketika dihubungi Bernama.
Katanya, kebanyakan pengeluar produk terutamanya barangan makanan dan minuman memperolehi sijil pengesahan "halal" kerana kerana mahu produk keluaran mereka mendapat pasaran yang luas di kalangan pengguna Islam.
Selain itu, Yusof juga menasihati pengguna agar tidak mudah percaya dengan penyebaran e-mel dan khidmat pesanan ringkas (SMS) mengenai barangan makanan atau minuman yang dikatakan mengandungi ramuan tidak halal tetapi mendapat pengesahan "halal" dari Jakim.
Katanya, pengguna seharusnya menghubungi pihak berkuasa seperti Jakim atau persatuan pengguna untuk mendapatkan pengesahan dan bukannya bertindak menyebarkan maklumat itu kepada pengguna lain.
"Saya percaya Jakim telah menjalankan pemeriksaan yang ketat terhadap sesuatu barangan sebelum dipasarkan dan saya berpendapat pengguna tidak harus meragui kuasa yang ada pada Jakim," katanya
Sementara itu Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) ketika diminta mengulas isu yang sama mahu pengguna lebih prihatin dan tidak bersikap ambil mudah terhadap ramuan yang digunakan dalam barangan keperluan mereka.
Koordinator projek PPIM, Nur Nirwandi Mat Nordin berkata kalau pengguna was-was mengenai sesuatu barangan, mereka boleh memilih barangan lain yang benar-benar mempunyai logo "halal".
Presiden Persatuan Pengguna Kelantan, Yusof Ahmad pula meminta pengguna tidak memperbesarkan isu ini kerana dikhuatiri menjejas kepercayaan orang ramai terhadap logo "halal" Jakim.
-- BERNAMA - 16 September 2004
MAKLUMAN!
Setahun yang lalu
Tiada ulasan:
Catat Ulasan