KUALA LUMPUR, 12 April (Hrkh) - Langkah kerajaan Selangor membenarkan orang berpendapatan tinggi membeli rumah kos rendah di Selangor akan menyebabkan 'orang kaya bertambah kaya manakala si miskin terus melarat'.
Presiden Persatuan Pengguna Selangor dan Wilayah Persekutuan (PPSWP), Mohd Yusuf Abdul Rahman menyifatkan ini tidak selari dengan wawasan kerajaan Selangor yang mahukan negeri tersebut sebagai 'setinggan sifar 2005' jika masalah penduduk miskin masih tidak memiliki rumah.
Sehubungan itu, katanya PPSWP meminta Menteri Besar Selangor, Dr Mohd Khir Toyo mengkaji semula cadangannya menawarkan penjualan rumah kos rendah kepada orang kaya bagi disewakan kepada orang lain.
Menurutnya, langkah drastik kerajaan negeri dibuat hanya kerana masalah lambakan rumah berkenaan tidak terjual merupakan alasan yang tidak boleh diselesaikan.
"Sebenarnya penduduk di Selangor tidak dapat membeli rumah kos rendah disebabkan prosedur membeli rumahnya agak ketat," katanya semasa dihubungi Harakahdaily hari ini.
Katanya, sistem kouta serta pelbagai syarat yang dikenakan sebelum ini membataskan penduduk berpendapatan kecil untuk membeli rumah walaupun harganya yang ditetapkan dikatakan rendah.
"Syarat-syarat seperti hanya untuk anak Selangor, berkahwin dan bagi mendapatkan rumah ini mereka juga perlu melalui campur tangan pihak-pihak tertentu merupakan asas mengapa golongan ini tidak dapat membeli rumah tersebut," katanya sambil mencadangkan syarat pembelian itu perlu dilonggarkan.
Dalam hal ini, katanya kerajaan Selangor seharusnya membuka peluang kepada rakyat negari lain dalam tempoh tertentu untuk mereka membeli rumahnya memandangkan Selangor adalah tumpuan untuk penduduk luar berhijrah.
Sehubungan itu, beliau mencadangkan sebelum mengubah syarat itu dilaksanakan kerajaan perlu melihat kesan jangka panjang umpamanya kenaikan pasaran tanah dan juga di segi ekonomi terutamanya jika tujuan rumah yang dibeli itu disewakan kepada orang lain.
"Apabila rumah itu disewakan sejauh mana pula kerajaan dapat mengawal selia harga sewanya kerana di bandar seperti Shah Alam rumah kos rendah pun mencecah sehingga RM600," katanya lagi.
Semasa bercakap kepada media di Shah Alam semalam, Khir dipetik sebagai berkata, dasar pemilikan rumah kos rendah di Selangor akan dirombak dengan membenar golongan berpendapatan tinggi membeli rumah berkenaan untuk tujuan disewakan.
Sehingga kini katanya, sebanyak 225,000 unit rumah tersebut telah diluluskan pembinaannya bagaimanapun sebanyak 50,000 unit dijual kepada keluarga setinggan dan golongan berpendapatan kecil.
Sementara itu Pengerusi Institut Pengemblengan dan Pembangunan Komuniti, Mahfuz Omar menyelar cadangan tersebut yang disifatakan sebagai amat tidak wajar.
Katanya, peraturan yang dirangka kerajaan Selangor itu akan menjurus kepada satu sindiket baru iaitu golongan kaya monopoli rumah-rumah murah di negeri itu.
Secara tidak langsung juga katanya, ia akan menafikan peluang masyarakat miskin mempunyai rumah sendiri.
"Sepatutnya kerajaan Selangor mengekalkan prosedur yang ditetapkan sebelum ini iaitu rumah tersebut dijual kepada golongan bependapatan di bawah RM2,000 kerana Selangor antara negeri yang masih tinggi dengan penduduk setinggan," katanya.
Malah katanya, alasan mengatakan jumlah rumah kos rendah berlebihan tidak masuk akal berbanding dengan permintaan rumah seperti itu amat tinggi oleh rakyat di Selangor.
Namun, katanya, apa yang berlaku mereka ini tidak mendapat peluang ataupun tidak diberi sokongan untuk membolehkan mereka memiliki rumah kos rendah yang berlebihan itu.
"Kerajaan wajar membantu mereka ini untuk mendapatkan rumah misalnya permudahkan dari segi proses pinjaman bank, pengeluaran Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), mansuhkan wang pendahuluan harga rumah dan sebagainya termasuk memberi bantuan kepada ibu-ibu tunggal," katanya.
Beliau juga mendakwa kerajaan tidak mampu untuk memantau harga rumah yang dikenakan oleh pembeli kepada penyewa dengan kadar yang ditetap.
Tambahan pula dakwanya, tidak ada satu undang-undang pun yang membolehkan tindakan diambil ke atas tuan rumah berhubung kadar sewa yang dikenakan kepada penyewanya..
"Bagi saya alasan kerajaan mahu menetapkan kadar sewa tidak logik kerana mana ada dalam peruntukan undang-undang," katanya.
Menurutnya langkah kerajaan Selangor itu dilihat tidak akan membebaskan belenggu kemiskinan rakyat selagi dibebani dengan rumah sewa dan kehidupan mereka pula dipinggirkan kerajaan. - mks/lanh.HARAKAH - 16 April 2004
Tiada ulasan:
Catat Ulasan