Isnin, Disember 27, 2004

Kenaikan tol: Pak Lah diingatkan jangan hampakan kepercayaan rakyat

Nurul Nazirin

Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dan Kerajaan Barisan Nasional tidak boleh menghampakan kepercayaan rakyat dengan membenarkan kenaikan 10 peratus kadar tol di Lebuhraya Utara Selatan.

Ketika menegaskan demikian, Presiden Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia (Fomca), N Marimuthu berkata: “Rakyat memberi sokongan kepada kerajaan. Ini bukan cara untuk kerajaan membalasnya.”

“Di manakah janji awal Perdana Menteri untuk menjaga kebajikan rakyat,” katanya di majlis pelancaran kempen tandatangan anjuran Fomca bagi membantah kenaikan tol itu dari 12.36 sen kepada 13.60 sekilometre mulai 1 Jan depan. Fomca berharap dapat mendapat sebanyak 1 juta tandatangan.

Menurutnya, kerajaan mesti memahami dan sensitif terhadap kehendak pengguna. Presiden Fomca itu turut mempersoalkan keutamaan kerajaan.

“(Adakah) kerajaan menyayangi rakyat atau syarikat yang ada kaitan dengannya?” soalnya.

Kaji semula perjanjian

Marimuthu berkata, perjanjian dengan syarikat konsensi Lebuhraya Utara Selatan (Plus) perlu dikaji semula dan syarat-syaratnya hendaklah diumumkan kepada awam.

Katanya, semua perjanjian kerajaan dengan syarikat-syarikat swasta yang lain juga perlu dikaji semula bagi mengelakkan ia berat sebelah dan membebankan rakyat.

Malah, katanya, kerajaan menggalakkan rakyat pergi bercuti di dalam negeri dan membeli kereta keluaran tempatan, tetapi kini mahu membebankan mereka dengan kadar tol yang tinggi.

Walaupun mendapat bantahan secara besar-besaran dari pemimpin pembangkang dan pelbagai pihak lain, Plus tetapi akan menaikkan kadar tol tersebut. Syarikat tersebut juga telah mendapat lampu hijau dari kerajaan untuk berbuat demikian.

Sebelum ini, Menteri Kerja Raya Datuk Seri S Samy Vellu berkata, jika kenaikan tol tidak diluluskan, kerajaan terpaksa membayar pampasan yang besar kepada Plus mengikut syarat perjanjian kedua-dua pihak.

Perjanjian rahsia

Rabu lalu, pegawai atasan Plus menolak permintaan Jawatankuasa Membantah Kenaikan Tidak Adil Tol (Cauti) untuk mendapatkan salinan perjanjian tersebut.

Cauti, yang diketuai Ahli Parlimen DAP Teresa Kok, juga telah menghantar memorandum bantahan kepada syarikat tersebut berhubung kenaikan kadar tol itu.

United Engineers (Malaysia) Bhd (UEM), Khazanah Nasional Bhd, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) adalah lima pemegang utama saham Plus.

Penyelenggaraan lebuhraya termasuk Lebuhraya Utara Selatan, dikendalikan oleh anak syarikat UEM – Projek Penyelenggaraan Lebuhraya Bhd (Propel).

Sementara itu, Setiausaha Agung dan Penasihat Undang-undang Fomca, T Indriani berkata, pengguna mempunyai hak untuk tahu apa yang mereka bayar.

“Mengapa mesti ada alasan yang kerajaan terpaksa membayar pampasan kepada syarikat konsesi...mengapa perjanjian seperti itu ditandatangani dahulu?” soalnya.

Tiada ulasan: