Jumaat, Disember 17, 2004

Keuntungan politik lebih diutama dalam penswastaan bekalan air

Oleh Roy Rasul
KUALA LUMPUR, 21 April (Hrkh) - Sikap tidak konsisten kerajaan Barisan Nasional (BN) dalam projek penswastakan bekalan air di seluruh negara menunjukkan pihak berkenaan hanya pandai menangguk di air keruh untuk mendapat keuntungan politik.

Ketua Penerangan Muslimat PAS Pusat, Dr Mariah Mahmood berkata, ini dapat dilihat apabila Menteri Tenaga, Air dan Komunikasi, Lim Keng Yaik, kelmarin mahukan Kabinet menangguhkan cadangan penswastaan urusan pembekalan air buat sementara waktu sehingga sebuah badan khas mengawal selia air ditubuhkan.

Sedangkan kata Dr Mariah, pada tahun lalu semua kerajaan negeri kecuali Kelantan dan Terengganu bersetuju menyerahkan hak pengurusan serta perbekalan sumber air kepada Kerajaan Pusat supaya ditadbir secara menyeluruh.

Kerajaan Kelantan dan Terengganu ketika itu ditekan agar menyerahkan soal pembekalan air itu kepada kerajaan Pusat untuk diputuskan.

Lim yang mengumumkan penangguhan itu berkata, langkah itu penting kerana sekarang timbul pelbagai masalah di beberapa negeri selepas urusan pembekalan air diswastakan.

Dr Mariah yang diminta mengulas perkara ini berkata: "langkah ini menggambarkan kerajaan BN tidak bersedia ataupun tidak merancang dengan mendalam sesuatu rancangan yang hendak dilaksanakan."

Beliau mendakwa, bukan sekadar penswastaan bekalan air bahkan pelbagai program yang dibuat separuh jalan, contohnya Rakan Muda, Projek Landasan Kereta Api Berkembar, penggunaan bahasa Inggeris dalam subjek Sains dan Matematik dan yang terkini ialah Program Khidmat Negara (PKN).

"Sewajarnya kerajaan mendapat mendapat maklum balas dan maklumat tepat mengenai sesuatu projek barulah dilaksana, kalau tidak ia akan menjadi separuh jalan dan seterusnya tidak mencapai matlamat," katanya.

Malah katanya, apa yang parah lagi jika sesuatu rancangan itu dibuat atas dasar kepentingan politik dan peribadi dan pihak-pihak tertentu yang mana hasilnya merugikan rakyat.

Beliau berkata kegagalan program dan projek kerajaan ini amat merugikan wang rakyat selain berlaku pelbagai bentuk pembaziran.

Usah bebankan rakyat

Presiden Persatuan Pengguna Selangor dan Wilayah, Yusoff Abdul Rahman pula berkata, apa pun perancangan kerajaan mengenai bekalan air ia tidak harus membebankan pengguna (rakyat).

Beliau meminta kerajaan menyeragamkan bentuk pengurusan bekalan air di seluruh negara agar ia mampu ditanggung rakyat.

Sama ada penswastaan tersebut dilaksanakan atau tidak, katanya, kerajaan perlu memikirkan tanggungjawab sosial kerana air adalah keperluan asas.

Di samping itu, beliau menyarankan agar kerajaan mewujudkan satu mekanisme kepada rakyat miskin untuk membolehkan mereka menikmati bekalan air.

"Di samping pertimbangkan proses penswastaan bekalan air itu, tanggungjawab kepada rakyat perlu diambil kira untuk menjamin kualiti serta perkhidmatannya adalah baik," katanya.

Bekalan air perlu diurus dengan bijak

Ahli Parlimen Kepong yang juga Naib Pengerusi Kebangsaan DAP, Dr Tan Seng Giaw berpandangan, kerajaan mesti pertingkatkan cara pengurusan air dengan bijak.

"Bagi saya masalah penswastaan itu sama ada ditangguh atau sebaliknya tidak penting sangat kerana yang dikehendaki rakyat ialah mutu dan penyediaan bekalan air dijaga supaya tidak membebankan rakyat," katanya.

Contohnya kata beliau, di kawasan Lembah Klang, Perbadanan Urus Air Selangor (Puas) harus meningkatkan tahap perkhidmatannya supaya tidak dipertikai pengguna. รข€“ lanh

HARAKAH - 21 April 2004

Tiada ulasan: