Jumaat, Disember 17, 2004

Amaran Nazri terhadap BPR tidak wajar - Kamaruddin

Oleh Saidatul Amani
KUALA LUMPUR 9 Dis, (Hrkh) - Ahli Parlimen Tumpat, Dato' Kamaruddin Jaafar terkejut dengan kenyataan Menteri Pembangunan Usahawan, Dato' Seri Mohd Nazri Abdul Aziz yang menyifatkan tindakan Pengarah Siasatan Badan Pencegah Rasuah (BPR) Dato' Nordin Ismail sebagai sikap ala samseng dalam menyelesaikan kes rasuah.

Kamaruddin juga turut terkilan dengan kenyataan Nazri yang mendakwa ahli jemaah menteri merupakan majikan kepada pegawai kerajaan khususnya (BPR).

Beliau menegaskan, dakwaan Nazri itu bukan merupakan satu sikap yang betul kerana BPR berada di bawah Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) dan secara khususnya di bawah Agung.

Menurut Kamaruddin, Nazri mempunyai pendirian yang salah serta bercanggah dengan dasar kerajaan untuk membasmi gejala rasuah.

Katanya, setakat ini BPR sudah mula menunjukkan ketegasan terhadap isu rasuah tetapi masih banyak lagi yang perlu dilakukan oleh BPR.

Pengerusi Institut Pengembelingan dan Pembangunan Komuniti (Impak), Mahfuz Omar meminta supaya Nazri tidak panik ketika membuat kenyataan kerana ia boleh menjejaskan krediabiliti beliau sebagai seorang Menteri.

Katanya, BPR perlu menyiasat dakwaan yang dilakukan oleh Presiden Pertubuhan Pemandu dan Penguasaha Teksi Limousin dan Kereta Sewa Malaysia (Pertekma), Yusof Lahir terhadap penyelewengan yang dilakukan oleh Nazri dalam pemberian permit teksi.

"Jika dakwaan Yusof Lahir itu betul BPR perlu membuat penyiasatan segera dan tindakan tegas perlu diambil oleh pihak yang terlibat," jelasnya.

Mahfuz yang juga Timbalan Pesuruhjaya PAS Negeri Kedah menegaskan BPR perlu menyiasat apakah benar dakwaan Yusof Lahir terhadap seorang individu yang mempunyai 6000 permit teksi.

Siasatan BPR dibuat berikutan aduan Yusoff Lahir mengenai individu yang memiliki 6000 permit teksi menerusi 19 syarikat.

Sehubungan itu Pengarah Siasatan BPR, Dato' Nordin Ismail menegaskan BPR akan mengeluarkan waran tangkap terhadap mana-mana saksi dan menteri yang enggan memberi keterangan dalam siasatan kes rasuah.

Beliau menegaskan, BPR akan menggunakan peruntukan undang-undang yang sedia ada untuk memanggil saksi memandangkan selama ini BPR banyak berdiplomasi terutama dengan menteri yang menjadi saksi kes rasuah.

Sehubungan itu Nazri telah memberi amaran kepada Nordin agar tidak mengulangi tindakannya mengugut mana-mana menteri ketika menjalankan siasatan.

Naib Presiden KeADILan, Azmin Ali menegaskan tindakan Nazri memberi amaran terhadap Nordin adalah tidak wajar memandangkan BPR merupakan satu badan penyiasat yang bebas daripada kongkongan mana-mana pihak.

Menurut beliau, kenyataan Nazri terhadap tindakan yang akan diambil oleh BPR merupakan satu ugutan seolah-olah kuasa jamaah kabinet mengatasi BPR.

Menurut beliau, Barisan Alternatif (BA) sering menegaskan BPR perlu diletakkan di bawah parlimen dan bukan di bawah jabatan Perdana Menteri supaya pemimpin politik khususnya jamaah menteri tidak boleh mencampuri siasatan yang sedang dijalankan.

"Saya yakin dan percaya berdasarkan pengalaman isu rasuah ini, banyak siasatan tertangguh dan tidak ada penyelesaian bukan kesalahan BPR tetapi kerana ada campur tangan politik khususnya jamaah menteri Umno/BN termasuk bekas Perdana Menteri," tegasnya.

Sehubungan itu Azmin mengalu-alukan kenyataan Perdana Menteri, Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi untuk memerangi rasuah hingga ke akar umbi.

Bagaimanapun beliau menegaskan, Abdullah jangan sekadar membuat retorik politik tetapi mestilah mengambil tindakan tegas tanpa memilih kasih.

Gabungan Persatuan Pengguna Seluruh Malaysia (Fomca), Mohd Yusoff Abd Rahman menegaskan amaran yang diberikan oleh Nazri terhadap tindakan yang akan diambil oleh Nordin menggambarkan sikap Nazri yang `ego'.

Beliau berkata, walaupun Nazri seorang ahli kabinet tetapi beliau juga merupakan kakitangan kerajaan dan perlu menghormati apa yang diperkatakan oleh orang bawahannya.

Katanya, Nazri tidak wajar memberikan amaran kepada Nordin kerana BPR mempunyai kuasa untuk mengambil tindakan terhadap mana-mana pihak yang terlibat dengan rasuah.

HARAKAH - 9 Disember 2004

Tiada ulasan: