Jumaat, Disember 17, 2004

Kenaikan kadar tol keterlaluan

Oleh Salmiyah Harun
KUALA LUMPUR, 17 Ogos (Hrkh) - Kadar tol Lebuh Raya Sungai Besi yang dinaikkan 30 peratus serta kadar tol Projek Lebuh Raya Utara Selatan (Plus) yang akan dinaikkan 1 Januari depan diselar kerana terlalu membebankan rakyat.

Kenaikan kadar tol Lebuh Raya Sungai Besi daripada RM1 kepada RM1.30 untuk kereta manakala kenderaan berat seperti lori dikenakan RM2.60 yang berkuat kuasa pada 15 Ogos lalu dianggap keterlaluan.

Pengerusi Lajnah Pengguna PAS Pusat, Mahfuz Omar berkata, kenaikan kadar tol yang agak tinggi itu tidak wajar sama sekali kerana ia telah menambah bebanan rakyat kerana pada masa sama harga minyak turut naik.

Dalam keadaan ini, beliau berkata, kerajaan hendaklah mengurangkan kenaikan salah satu sumber itu untuk mengurangkan bebanan rakyat.

"Pada masa yang sama kebanyakan keperluan rakyat yang lain turut naik. Jadi macam mana rakyat hendak hidup dengan baik," katanya yang dihubungi hari ini.

Beliau berpendapat tindak-tanduk kerajaan yang membiarkan kenaikan harga keperluan ini adalah satu tamparan hebat kepada rakyat kerana terus mengundi Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya lepas.

"Jika Barisan Alternatif (BA) menang, insya-Allah, rakyat tidak dibebani sebagaimana hari ini, malah kita juga berjanji dalam manifesto BA akan menghapuskan tol secara berperingkat-peringkat," tegas beliau.

Sementara itu, Presiden Persatuan Pengguna Selangor dan Wilayah Persekutuan, Yusoff Abdul Rahman pula berkata, Selangor merupakan negeri yang paling banyak mempunyai tol.

Katanya, kenaikan itu akan memberi tekanan hidup kepada pengguna kerana mereka terpaksa memperuntukkan beratus-ratus ringgit sebulan semata-mata untuk membayar tol.

"Bukan tol sahaja yang kena bayar, banyak benda lain perlu dibayar termasuklah bil elektrik yang baru-baru ini tarifnya juga naik," katanya.

Beliau meminta kerajaan memperkemaskan kemudahan pengangkutan awam supaya pengguna jalan raya tidak dibebani dengan harga tol yang sentiasa naik.

Tegasnya, kerajaan harus mempertimbangkan kenaikan kadar tol itu kerana ia bukannya memberi keuntungan kepada kerajaan tetapi mendatangkan keuntungan syarikat konsesi.

"Kita tidak tahu bagaimana operasi syarikat konsesi terbabit adakah ia telus ataupun sebaliknya," kata beliau.

Ketika mengulas dakwaan kerajaan yang mengatakan kadar tol di negara ini murah berbanding negara lain, beliau berkata, kerajaan tidak boleh samakan hal itu kerana kos sara hidup mereka berbeza berbanding negara ini. – lanh

HARAKAH - 17 Ogos 2004

Tiada ulasan: