Jumaat, Disember 17, 2004

Kes selesema burung di Kelantan sengaja diperbesar - Fomca

Oleh Salmah Mat Hussain
KOTA BHARU, 16 Sept (Hrkh) – Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (Fomca) percaya kes selesema burung tidak diperbesarkan seperti yang berlaku di Kelantan sekarang, sekiranya berlaku di negeri-negeri lain.

Presidennya, Marimuthu Nadason berkata, apa yang menjadi isu sekarang kes itu berlaku di Kelantan.

“Tetapi sekiranya ia berlaku di negeri lain mungkin ia tidak diperbesarkan seperti dilaporkan media kebelakangan ini,” ujarnya ketika ditemui selepas merasmikan Pusat Aduan Khidmat Pelindung Pengguna Kelantan di sini, hari ini.

Akhbar hari ini melaporkan seluruh Kelantan dikuarantinkan daripada perpindahan segala unggas, ekoran merebaknya wabak selesema burung di beberapa kampung kebelakangan ini.

Marimuthu berharap Kementerian Kesihatan membuat tinjauan serta kajian terperinci terhadap semua jenis binatang yang boleh membawa penyakit bagi mengelakkan selesema burung merebak dengan pantas.

Katanya, kementerian berkenaan dengan kerjasama Jabatan Perkhidmatan Haiwan hendaklah melakukan gerak kerja bersama dari semasa ke semasa untuk mengenal pasti binatang ternakan yang berpenyakit.

"Mencegah lebih baik daripada mengubat, kerana itu apabila berlaku wabak penyakit yang dibawa oleh binatang seperti burung, ayam atau seumpamanya baru kita nak siasat, nak mencegah sedangkan ketika itu ia sukar dikawal lagi," katanya.

Sehubungan itu beliau berkata, pihak berkaitan hendaklah menjalankan kawalan secara rutin sebelum penyakit berkenaan merebak ke negeri-negeri lain.

Marimuthu turut berharap orang ramai di negeri ini lebih-lebih berhati ketika mengambil daging ayam sekarang.

"Saya tidak boleh mengeluarkan kenyataan adakah perlu rakyat negeri ini menghentikan segera memakan ayam kerana ia membabitkan banyak pihak terutama penternak, peruncit dan pengguna.

"Apa lagi industri ini seluruh negara bernilai RM3.8 bilion setahun, manakala Kelantan sendiri mengeluarkan kira-kira tujuh juta ayam dengan nilaian RM120 juta setahun.

Oleh itu, fikirlah sendiri sama ada mahu memakan ayam atau tidak," ujarnya.

Beliau juga turut menasihatkan pengguna supaya mendapatkan maklumat yang jelas dari pihak yang benar-benar bertanggungjawab mengenai isu tersebut.

Selain itu, tambahnya penjagaan kebersihan sekitar rumah hendaklah ditingkatkan bagi mengelakkan selesema burung terus merebak.

Terdahulu sebelum itu beliau merasmikan Pusat Aduan Khidmat Pelindung Pengguna Kelantan yang terletak di bangunan Dewan Perniagaan Melayu Malaysia Cawangan Kelantan, Wakaf Siku.

Hadir sama pada majlis itu ialah Presiden Pelindung Persatuan Pengguna (Pelindung), Haji Ahmad Othman serta anggota-anggota jawatankuasanya. - mj/lanh

HARAKAH - 16 September 2004

Tiada ulasan: