Jumaat, Disember 17, 2004

PUAS Diminta Perbaiki Kualiti Air Sebelum Naikkan Tarif

Oleh Wan Nordin Wan Yaacob
KUALA LUMPUR, 19 Okt (Hrkh) - Perbadanan Urus Air Selangor (Puas) digesa memperbaiki pengurusan kualiti bekalan air sebelum mengenakan sebarang kenaikan tarif air kepada pengguna.

Pengerusi Persatuan Pengguna Selangor dan Wilayah Persekutuan, Mohd Yusof Abdul Rahman berkata, Puas sebelum ini hanya membincangkan soal kenaikan tarif air sedangkan kualiti air yang dibekalkan amat rendah.

"Pihak kami masih tetap membantah cadangan kenaikan harga air yang diumum Menteri Besar Selangor, Dato' Seri Mohd Khir toyo baru-baru ini,"tegasnya.

Katanya lagi, walaupun alasan Mohd Khir bahawa kenaikan itu sebenarnya untuk menyediakan bekalan air yang lebih baik, pihaknya tidak melihat rasional kenyataan itu.

Tambahnya, ini kerana kenaikan tarif air itu dilihat semata-mata untuk menampung kerugian dan jumlah hutang tertunggak yang dialami Puas kepada tiga syarikat pembekal air iaitu, Puncak Niaga, Syarikat Pengeluar Air Selangor (Splash) dan Konsortium Abass.

Sedangkan katanya, pengguna dibebankan dengan masalah air yang berkualiti rendah dan gangguan bekalan air.

Bagi persatuan pengguna, tunggakan hutang bukanlah disebabkan pengguna tidak membayar bil air, tetapi punca sebenarnya ialah kerana kelemahan pengurusan dan pentadbiran Puas itu sendiri.

Kata Mohd Yusof, kelemahan pengurusan timbul akibat Puas tidak pernah menyelesaikan masalah pengurusan air yang dihadapi termasuklah jumlah bebanan hutang mencecah RM2.23 bilion dan kerugian akibat 40 peratus penggunaan air tanpa pulangan.

Justeru katanya, Puas perlu menyelesaikan pembayaran bagi mengurangkan jumlah hutang terhadap tiga syarikat terbabit di samping berusaha mempertingkatkan kualiti pengurusan bekalan airnya.

"Jangan bebankan pengguna dengan kenaikan tarif air semata-mata untuk menampung hutang yang dipikul Puas," tegas Mohd Yusof lagi.

Menurut beliau, sejak dahulu lagi, pihak persatuan pengguna sering mendapat aduan daripada pengguna mengenai tahap kualiti air yang dibekalkan Puas.

Justeru beliau menggesa Puas sekali lagi mengkaji semula cadangan terbarunya itu supaya pengguna benar-benar tidak teraniaya dengan bebanan yang ditanggung pihak Puas.

"Walaupun semalam Puas mengumumkan cadangan kenakan kenaikan kepada penggunaan lebih 20,000 liter, Puas perlu ingat tidak ramai pengguna yang mengguna kurang dari 20,000 liter," ujar beliau lagi.

Semalam, Ketua Pegawai Eksekutif Puas, Dato' Mohd Sinon Mudzakir berkata, penduduk Lembah Klang yang menggunakan air kurang 20 meter padu atau 20,000 liter sebulan tidak perlu membayar lebih, jika cadangan untuk menaikkan tarif air diluluskan.

Bagaimanapun katanya, berkata kenaikan yang dicadangkan itu tidak membabitkan penggunaan 20 meter padu pertama yang kini dikenakan caj 57 sen satu meter padu.

Sebaliknya kata beliau, jika kadar penggunaan air melebihi jumlah itu, caj lebih tinggi dikenakan iaitu 91 sen mulai 21 meter padu hingga 35 meter padu dan RM1.70 untuk 35 meter padu ke atas.

"Lazimnya, penggunaan kadar air di rumah kediaman tidak melebihi 20 meter padu air sebulan. Jadi, mereka (pengguna domestik) tidak terjejas walaupun kadar tarif baru diputuskan kelak.

"Sebaliknya, cadangan kenaikan itu mungkin dirasai sektor perindustrian yang banyak menggunakan air tetapi kenaikannya sekitar dua hingga empat peratus saja," katanya.

Beliau berkata demikian selepas majlis menandatangani perjanjian pinjaman berjumlah RM489.88 juta antara Puas Berhad dan Bank Pembangunan dan Infrastruktur Malaysia Berhad (BPIMB) di Shah Alam, semalam.

Sementara itu, 20 September lalu,Mohd Khir mengumumkan kadar tarif air di Selangor akan dinaikkan antara dua hingga empat peratus.

Bagaimanapun, Menteri Besar Selangor itu memberi jaminan bahawa kenaikan tarif air itu tidak akan membebankan rakyat dan sektor perindustrian.

``Rakyat perlu bersedia untuk menghadapi kenaikan kecil kadar tarif air tidak lama lagi sekiranya mereka mahukan kualiti air dan perkhidmatan yang lebih baik,'' katanya. - mks.

HARAKAH - 19 Oktober 2004

Tiada ulasan: