KUALA LUMPUR, 13 Ogos (Hrkh) - Kenaikan kadar tarif elektrik oleh kerajaan adalah dianggap tidak wajar kerana akan membebani kehidupan rakyat sebaliknya ia hanya akan menguntungkan Tenaga Nasional Berhad (TNB) semata-mata.
Menurut Pengarah Komunikasi Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna-pengguna Malaysia (Fomca) Mohd Yusoff Abdul Rahman,kerajaan perlu mengkaji dan mengambil kira kos hidup dan juga jumlah pendapatan rakyat sebelum menaikkan kadar tarif elektrik yang dijangka akan dinaikkan Januari tahun depan.
Ini disebabkan kenaikan tersebut dikhuatiri akan makin menekan kehidupan masyarakat negara ini yang mana selama ini pun katanya, telah dibebani dengan pelbagai desakan hidup yang lain.
Oleh sebab itu katanya, kerajaan harus membuat pertimbangan di segi kedudukan pengguna sebelum menaikkan sesuatu tarif terutama berhubungan dengan keperluan asas harian.
Malah katanya, alasan yang diberikan kerajaan bahawa kenaikan tersebut terpaksa dilakukan kerana peningkatan keperluan serta perubahan harga minyak dan gas di pasaran adalah tidak wajar.
Semalam, Timbalan Menteri Tenaga, Air dan Komunikasi, Dato' Shaziman Abu Mansor dilaporkan oleh media berkata, kali terakhir kadar tarif elektrik dinaikkan ialah pada tahun 1997, sehubungan itu pengguna perlu bersedia menghadapi kenaikan pada masa depan kerana kadar sekarang tidak mungkin boleh dikekalkan sampai bila-bila.
Malah katanya, pada masa ini tarif elektrik di Malaysia adalah antara yang terendah di rantau ini iaitu 23.5 sen per kiloWatt (per kWh) berbanding Singapura 32.3 sen per kWh dan Filipina 38.8 sen per kWh.
Namun beliau menambah, tenaga yang kini dihasilkan melalui gas dan diesel memerlukan subsidi yang besar daripada kerajaan.
Mengulas kenyataan menteri terbabit Yusoff berkata, seringkali kerajaan akan memberi alasan bahawa kadar sebarang tarif di negara masih rendah berbanding negara luar seperti Singapura ataupun Filipina.
"Sebenarnya alasan itu tidak boleh diterima kerana pendapatan di negara berkenaan tinggi sedangkan pendapatan kita di sini masih tak seimbang," katanya.
Di samping itu katanya, adalah amat dikesali jika tujuan menaikkan kadar tarif tersebut menguntungkan syarikat perbekalan tenaga elektrik tersebut iaitu TNB sedangkan golongan pengguna dijadikan sasaran.
"Ini berlaku kepada mana-mana juga syarikat, terutama yang menjalankan perniagaan secara monopoli di negara ini," katanya.
Dalam pada itu beliau berkata, alasan kerajaan perlu menanggung subsidi tinggi dengan kenaikan diesel dan gas di pasaran dunia sehingga mendatang kesan kepada kenaikan tarif elektrik juga tidak wajar.
Ini katanya, sudah menjadi peranan kerajaan bagi membantu golongan rakyat untuk menikmati kemudahan awam pada kadar yang mampu dibayar. - mks.HARAKAH - 13 Ogos 2004
Tiada ulasan:
Catat Ulasan