KUALA LUMPUR 9 Mei - Persatuan Pengguna Subang dan Shah Alam Selangor (Cassa) hari ini menggesa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna dan Kementerian Pertanian menyiasat kenaikan mendadak harga ayam di pasaran.
Presiden dan Penasihat Undang-Undang Cassa, Datuk Dr. Jacob George berkata, kajian persatuan itu di beberapa buah pasar di Lembah Klang hari ini mendapati ayam dijual pada harga RM5.40 sekilogram, kenaikan RM1.40 hingga RM2 sekilo berbanding dengan kajian Selasa lepas.
``Manipulasi harga ini tidak dapat lagi diterima oleh pengguna,'' katanya.
Beliau berkata, peniaga dan pembekal yang dihubungi oleh Cassa dalam kajian itu mendakwa mereka diberitahu bahawa kenaikan itu ekoran kekurangan teruk bekalan ayam dalam negara.
Oleh itu, katanya, bahagian penguat kuasa kedua-dua kementerian perlu menyiasat bagi menangani keadaan selain mengesahkan sama ada dakwaan pembekal dan peniaga itu benar.
``Sebarang usaha untuk mewujudkan kekurangan yang dibuat-buat atau usaha memanipulasi bekalan dan permintaan, mesti ditangani segera,'' katanya.
Beliau berkata, jika benar bekalan berkurangan, kementerian wajar mengambil langkah perlu, termasuk meningkatkan import untuk memenuhi permintaan domestik.
Sementara itu, Presiden Persatuan Pengguna Selangor dan Wilayah Persekutuan, Mohd. Yusof Abdul Rahman berkata, kenaikan harga ayam di beberapa tempat mungkin disebabkan oleh kekurangan bekalan ayam di pasaran berikutan merebaknya wabak Sindrom Pernafasan Akut Teruk (SARS) di rantau Asia.
Menurutnya, bekalan ayam di pasaran sebelum ini ditampung oleh daging ayam yang diimport dari China, namun disebabkan SARS, mungkin bekalan dari negara itu dikurangkan.
``Kita tak dapat laporan tentang kekurangan bekalan ayam di pasaran atau penarikan import ayam dari China, namun saya tidak menolak kemungkinan harga naik disebabkan SARS, ini,'' katanya.
Menurutnya, harga semasa daging ayam adalah di antara RM4.30 dan RM 5.00 sekilo.
``Kita tidak menerima sebarang aduan berkaitan harga ayam, biasanya aduan berkaitan harga ayam cuma ketika musim perayaan,'' katanya.
Beliau juga tidak menolak keadaan yang berlaku di pasar-pasar sekitar Lembah Klang adalah disebabkan berlakunya manipulasi harga oleh peniaga yang mengambil kesempatan daripada SARS untuk menaikkan harga.
``Manipulasi harga berlaku kerana kenaikan harga oleh penjual. Ini kerana harga bergantung kepada permintaan, jika bekalan banyak harga akan kurang dan begitu juga sebaliknya,'' katanya.
Menurutnya jika laporan kenaikan harga ayam adalah benar, pihaknya akan melaporkan kepada kementerian yang berkaitan untuk siasatan lanjut.
``Jika kenaikan harga disebabkan sikap tidak bertanggungjawab oleh penjual, kita harap kementerian akan ambil tindakan tegas terhadap mereka supaya penganiayaan ke atas pengguna tidak berulang,'' katanya.
Sementara itu, Pengerusi Persekutuan Persatuan Penternak Malaysia, Yap Kim Hwah berkata, beliau tidak menyedari kenaikan harga ayam itu.
Mengikut senarai harga ayam yang dikeluarkan oleh persekutuan itu semalam, harga di ladang ayam hidup ialah RM3.10 sekilo, harga ayam hidup (borong) RM3.60 sekilo, harga ayam yang sudah diproses (borong) RM4.35, harga runcit ayam hidup RM4.10, harga runcit ayam proses berserta kaki, kepala, hati dan hempedal (runcit) RM4.95 sekilo dan harga runcit ayam proses tanpa kaki, kepala, hati dan hempedal RM5.55. - Bernama
UTUSAN MALAYSIA - 10 Mei 2004
Tiada ulasan:
Catat Ulasan