Naib Presiden PAS, Dato'Mustafa Ali menyifatkan pembentangan Belanjawan 2005 yang dibuat oleh Perdana Menteri, Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi adalah 'belanjawan terima kasih' selepas pilihan raya.
Dalam majlis 'Analisis Belanjawan 2005' semalam Mustafa menyebut, harus diakui bahawa belanjawan kali ini menawarkan hadiah untuk pelbagai lapisan rakyat.
Beliau berkata demikian semasa membentangkan analisis Belanjawan 2005 di Dewan Dato' Fadzil Noor Markas Tarbiyah PAS Pusat, Taman Melewar semalam.
Turut serta dalam pembentangan itu ialah, Naib Presiden KeADILan, Abdul Rahman Othman; AJK PAS Pusat, Ustaz Halim Abdul Rahman; Dato' Kamaruddin Jaafar; Mahfuz Omar; Ketua Pemuda PAS, Salahuddin Ayob; Ketua Dewan Muslimat, Ustazah Khalsom Othman; Dr Lo'Lo Ghazali; wakil Fomca, Yusof Abdul Rahman dan pihak media.
"Ini boleh dianggap sebagai hadiah kepada rakyat khasnya pengundi-pengundi yang telah memberi kemenangan besar kepada Umno dan Barisan Nasional (BN) dalam pilihan raya Umum ke-11 yang lalu," ujarnya yang menjadi pembentang analisis itu.
Katanya, Barisan Alternatif menyokong pemberian tersebut kerana ianya wajar sekali diberi malah sepatutnya diberi lebih awal lagi.
"Lagipun banyak hadiah-hadiah yang dibentangkan dalam belanjawan itu, namun ianya memang diperjuangkan oleh BA selama ini," tegasnya.
Mustafa seterusnya menyifatkan kerajaan pimpinan Abdullah lebih terbuka, prihatin, sedia menerima dan melaksanakan saranan dari pelbagai pihak termasuk parti pembangkang.
Tambahnya, perkembangan tersebut dilihat satu 'departure' daripada rejim yang sebelum ini.
Dengan perkembangan tersebut katanya, BA juga mengharapkan ianya merupakan permulaan dalam pembaharuan pemerintahan negara.
Merujuk kepada belanjawan tersebut katanya, usaha memperbaiki kedudukan dan pengurusan kewangan kerajaan merupakan penerusan dasar yang sedia ada.
Katanya fokus belanjawan masih kepada menjana pertumbuhan ekonomi dengan memberi galakan kepada kemasukan pelaburan asing dan dalam negeri.
"Perhatian yang lebih besar diberikan untuk memartabatkan sektor industri kecil dan sederhana, sektor pertanian amatlah dialu-alukan kerana ianya merupakan sebahagian besar agenda yang diperjuangkan BA selama ini," tegasnya.
Katanya, BA berpendapat dan mengira bahawa langkah tersebut adalah satu 'departure' yang besar daripada dasar yang dianuti oleh rejim pemerintahan sebelum ini yang hanya memfokuskan pembangunan industri besar dan projek mega.
Dalam kesimpulannya Mustafa menyebut, BA menyokong segala langkah yang mampu meningkatkan pembangunan ekonomi negara dan ke arah melebarkan asas ekonomi dan pertumbuhan ekonomi mapan.
"Namun, perhatian harus diberikan kepada usaha mewujudkan pembangunan seimbang antara kebendaan dan rohani, keseimbangan pembangunan wilayah dan keseimbangan pembangunan sektoral,"tegasnya.
Selain itu BA juga mencadangkan kerajaan harus berusaha membendung gejala keruntuhan akhlak masyarakat dan gejala jenayah yang kian berleluasa.
"Kesejahteraan negara dan rakyat dan tamadun yang tinggi hanya akan tercapai apabila membudayakan akhlak yang terpuji,"katanya. - mks.HARAKAH - 13 September 2004
Tiada ulasan:
Catat Ulasan