Jumaat, Disember 17, 2004

Tol: Rakyat disaran boikot lebuh raya

Oleh Saidatul Amani
KUALA LUMPUR, 17 Dis (Hrkh) - Rakyat diminta memboikot penggunaan Lebuh Raya Utara Selatan mulai 1 Januari depan bagi memberi tekanan kepada kerajaan yang berdegil menaikkan kadar tol sebanyak 10 peratus.

Timbalan Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat, Ustaz Idris Ahmad berharap rakyat bertindak drastik memprotes keputusan kerajaan yang tidak memberi faedah selain menambahkan bebanan.

Menurut beliau, selagi rakyat tidak berani melakukan bantahan maka selama itulah kerajaan akan terus menekan dengan menaikkan segala keperluan mereka.

Katanya, tidak mustahil kerajaan BN akan terus menaikkan kadar tol sekali lagi seperti peningkatan harga minyak beberapa kali dalam tempoh setahun.

Mengulas tindakan Kementerian Kerja Raya terhadap kenaikan tol itu, Ustaz Idris berkata, Dewan Pemuda PAS akan melancarkan kempen satu bulan tanpa tol di mana pengguna jalan raya digalakkan supaya tidak menggunakan lebuh raya.

Tambahnya, jika tindakan itu gagal mengubah pendirian kerajaan maka Dewan Pemuda PAS akan berdemonstrasi.

Beliau terkilan dengan kenyataan Menteri Kerja Raya, S Samy Vellu yang berkata kerajaan tidak boleh menampung kos pampasan RM154 juta setahun kepada pemegang konsesi jika kadar tol tidak dinaikkan.

Katanya, dahulu kutipan tol Jalan Kuching di Kuala Lumpur tetap dilanjutkan walaupun tempoh pembayaran itu sudah tamat dan kutipan tol itu sudah memperolehi keuntungan.

"Sudah pasti tindakan kerajaan meneruskan tol di Jalan Kuching hanya untuk menjaga kepentingan pihak tertentu tanpa mengambil berat kepentingan rakyat," katanya.

Ustaz Idris mengingatkan masyarakat supaya mempunyai jati diri dan tahu tentang harga diri supaya tidak mudah diperalatkan oleh orang lain.

Kerajaan rompak duit rakyat, kata Mahfuz

Sementara itu, Pengerusi Lajnah Pengguna PAS Pusat, Mahfuz Omar mendesak kerajaan membentangkan kertas putih laporan keuntungan dan kerugian yang ditanggung Projek Lubh Raya Utara Selatan (Plus).

Menurut beliau, laporan itu penting didedahkan supaya rakyat mengetahui sejauh mana keuntungan yang diperolehi Plus setiap tahun.

Selain itu beliau juga berharap rakyat bekerjasama dengan parti pembangkang seperti PAS, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), persatuan pengguna dan pertubuhan lain untuk mengadakan demonstrasi membantah kenaikan tol 10 peratus itu.

Katanya, jika bantahan itu hanya diusahakan parti pembangkang (PAS) tanpa pembabitan NGO dan pertubuhan lain, maka kerajaan tidak akan mendengar rintihan rakyat.

Katanya, luahan perasaan sahaja tidak boleh menyedarkan kerajaan BN melainkan rakyat melakukan demonstrasi di mana ia merupakan satu tindakan yang lebih praktikal bagi memastikan kerajaan tidak akan terus menekan rakyat.

Mengulas kenyataan Samy Vellu kononnya tol perlu dinaikkan kerana kerajaan terpaksa menanggung bayaran subsidi tahunan kepada empat pemegang konsesi beliau berkata:

"Amat tidak wajar kerajaan memulangkan segala bebanan kepada rakyat, kerana empat syarikat itu antara Plus dengan UEM mempunyai hubungan dengan kerajaan," katanya ketika dihubungi Harakahdaily.

Baginya, jika tindakan itu dilakukan jelas membuktikan bahawa kerajaan tidak bertanggungjawab dan menafikan hak rakyat untuk menggunakan kemudahan lebuh raya.

Mahfuz berkata, tol naik kesan daripada kenaikan petrol dan barang-barang keperluan dapur dan sudah pasti selepas ini berlaku kenaikan tambang bas dan teksi.

Beliau berkata: "Tol naik 10 peratus, petrol 10 peratus dan mungkin tambang bas dan teksi akan naik 10 hingga 20 peratus, kesannya rakyat terpaksa menanggung kenaikan sebanyak 30 peratus setahun."

Katanya, kerajaan telah melakukan satu rompakan secara terhormat melalui wang rakyat selain menafikan hak rakyat untuk menggunakan lebuh raya bagi mereka yang tidak mempunyai wang. – lanh

HARAKAH - 17 Disember 2004

Tiada ulasan: