Dec 23, 04 7:52pm
Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia (Fomca) berharap dapat mengumpulkan satu juta tandatangan menentang kenaikan kadar tol di Lebuhraya Utara Selatan (NSE).
Ketua bahagian komunikasi Fomca, Mohd Yusof Abdul Rahman berkata, kempen selama sebulan itu akan bermula esok di pejabat Fomca di Petaling Jaya. Senarai tandatangan itu akan diserahkan kepada kerajaan.
Menurutnya, matlamat untuk mencapai sasaran satu juta tandatangan itu tidaklah sepenting usaha untuk memperjuangkan bantahan pengguna terhadap kenaikan 10 peratus kadar tol tersebut mulai I Januari depan.
Beliau menambah, kempen itu melibatkan badan bukan kerajaan, agensi kerajaan dan orang awam. Ianya akan dilakukan melalui faks, sistem pesanan ringkas (SMS) dan emel.
“Ia penting bagi Fomca melakukan sesuatu untuk para pengguna,” katanya ketika dihubungi.
Meskipun menerima bantahan daripada pemimpin-pemimpin pembangkang, syarikat konsesi – Projek Lebuhraya Utara Selatan (Plus) akan tetap menaikkan kadar tol tersebut.
Syarikat konsesi itu juga telahpun diberi lampu hijau oleh kerajaan untuk berbuat demikian.
Sebelum ini, Menteri Kerja Raya Datuk Seri S Samy Vellu berkata, jika kadar tol itu tidak dinaikkan, kerajaan terpaksa membayar pampasan yang besar kepada Plus, mengikut mengikut perjanjian yang ditandatangani oleh kedua-dua pihak.
Semalam, pegawai atasan Plus enggan memberikan salinan kontrak yang diminta ahli Jawatankuasa Membantah Kenaikan Tidak Adil Tol (Cauti).
Cauti, yang diketuai Ahli Parlimen DAP Teresa Kok telah mengemukakan memorandum kepada syarikat konsesi itu membantah kenaikan 10 peratus kadar tol di Lebuhraya Utara Selatan.
Dedahkan butiran kontrak
Sementara itu Yusof berkata, ia hanya adil jika pihak pengguna mengetahui butiran dalam perjanjian tersebut seperti terma dan siapakah yang menandatanganinya.
Beliau juga menggesa supaya dikaji semula perjanjian tersebut yang menurutnya ‘berat sebelah’.
“Kami tidak mahu perjanjian yang menyebelahi sebelah pihak iaitu syarikat konsesi. Di samping itu, kerajaan perlu sensitif kepada keperluan rakyat.
“Jika kerajaan terus menerus menyebelahi syarikat yang berkaitan kerajaan, ia akan menimbulkan masalah-masalah yang berterusan,” katanya.
Menurutnya lagi, jumlah kenderaan yang menggunakan Lebuhraya Utara Selatan telah meningkat setiap tahun dan sekaligus menyumbang keuntungan yang besar kepada Plus.
Perlukan peningkatan
Dalam perkembangan berkaitan, Pengarah Institut Pengangkutan Malaysia di Universiti Teknologi Mara (UiTM), Profesor Madya Mohamad Arshad Zainuddin menyifatkan kenaikan 10 peratus sebagai ‘terlalu tinggi’.
“Jika terdapat kualiti dan rakyat gembira mengenainya, mereka tidak akan membantah kenaikan tol,” katanya ketika dihubungi.
Beliau berkata, walaupun Plus menyelenggara lebuhraya tersebut, tetapi masih ada ruang untuk memperbaikinya.
“Pernah berlaku tiada bekalan air di tempat rihat di sepanjang lebuhraya itu. Tambahan pula, kebanyakan tempat rihat itu gelap dan makanan di gerai makan juga dihurungi lalat,” katanya.
Arshad juga mencadangkan supaya lorong laluan di lebuhraya tersebut ditambah, begitu juga dengan jumlah pondok membayar tol terutama pada musim perayaan bagi mengurangkan kesesakan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan