KUALA LUMPUR, 21 Sept (Hrkh) - Cadangan untuk menaikkan kadar tarif air di Selangor bukan sahaja akan membebankan para pengguna malah tindakan dan motif tersebut dianggap meragukan.
Pengarah Komunikasi Korporat Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia (Fomca), Yusof Abdul Rahman berkata, orang ramai tidak tahu tujuan sebenar Perbadanan Urus Air Selangor (Puas) menaikkan tarif air.
Menurutnya, kenaikan yang dicadangkan itu menimbulkan tanda tanya sama ada untuk menampung kos membaiki paip air di seluruh negeri atau bertujuan membayar hutangnya kepada sebuah syarikat swasta.
Katanya, kalau dilihat kenyataan Menteri Besar Selangor, Dato' Seri Mohd Khir Toyo mereka menaikkan tarif air adalah untuk menampung kos membaiki paip air yang lama tetapi dalam masa yang sama mereka didakwa menanggung hutang sebanyak RM2 bilion dengan sebuah syarikat swasta yang memberi perkhidmatan merawat air.
Katanya, jika itulah matlamat kenaikan tarif air maka langkah kerajaan itu adalah tidak wajar kerana yang menjadi mangsa adalah pengguna.
Mengulas kenyataan Khir Toyo yang akan mengenakan caj yang lebih kepada rumah tinggi seperti pangsapuri dan kondominium, Yusof berkata sepatutnya kerajaan tidak boleh berbuat demikian kerana akan timbul diskriminasi kepada penduduk berkenaan.
Tegasnya, kebanyakan penghuni rumah flat adalah di kalangan berpendapatan rendah.
"Bahkan semua kadar tarif air adalah sama untuk semua jenis perumahan, kenapa perlu berbeza-beza," katanya ketika dihubungi hari ini.
Semalam Khir Toyo mengumumkan tarif air di Selangor akan dinaikkan antara dua dan empat peratus dalam usaha kerajaan negeri memberi perkhidmatan pembekalan lebih kerap, cekap dan berkesan.
Khir Toyo juga dilaporkan berkata, Selangor terpaksa membelanja RM2.6 bilion bagi membaiki paip di seluruh negeri untuk memastikan pengguna terus mendapat air bersih dan selamat. - mks.HARAKAH - 21 September 2004
Tiada ulasan:
Catat Ulasan