PIHAK kami ingin merujuk kepada surat daripada Penunggu 14 Tahun, Kuala Lumpur dalam ruangan Forum pada 25 Ogos 2004.
Masalah perumahan merupakan masalah utama yang dikendalikan oleh persatuan pengguna sejak penubuhannya pada tahun 1960-an. Aduan mengenainya semakin bertambah dari setahun ke setahun. Menyedari keadaan inilah, semenjak tahun 1987 lagi FOMCA telah mengusulkan agar konsep `bina dan jual' dilaksanakan dalam industri perumahan di negara ini.
Seterusnya konsep itu menjadi agenda utama FOMCA dalam apa jua persidangan atau seminar yang berkaitan dengan perumahan. Namun usul tersebut tidak mendapat sambutan daripada pihak kerajaan apatah lagi di pihak pemaju perumahan.
Baru-baru ini konsep Bina dan Jual ini dikemukakan oleh Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi. Namun pandangan tersebut mati begitu sahaja apabila Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan dan pemaju perumahan memberikan pelbagai alasan untuk tidak melaksanakannya.
Pada tahun 1999, hasil daripada seminar perumahan yang dianjurkan oleh Persatuan Pengguna Selangor dan Wilayah Persekutuan (yang merupakan ahli gabungan FOMCA), Persatuan Pembeli Rumah Selangor dan Wilayah Persekutuan (kini dikenali sebagai Persatuan Kebangsaan Pembeli Rumah) ditubuhkan.
Selain itu, FOMCA dan ahli gabungannya turut mengendalikan aduan mengenai perumahan setiap hari. Pada tahun 2003, FOMCA dan ahli gabungannya menerima kira-kira 31,700 aduan mengenai perumahan di seluruh negara.
Semua aduan tersebut diselesaikan dengan sebaik mungkin walaupun menyedari bahawa kebarangkalian untuk menyelesaikannya adakalanya rumit sehingga membawanya ke mahkamah.
Pada bulan Julai 2004, Pusat Khidmat Aduan Pengguna Nasional (NCCC) yang dikendalikan oleh Persatuan Pengguna Selangor dan Wilayah Persekutuan ditubuhkan dengan kerjasama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna dan Persatuan Pendidikan dan Penyelidikan untuk Pengguna Malaysia (ERA Consumer Malaysia). Ia bertujuan sebagai pusat pengendalian aduan pengguna setempat di negara ini.
Usaha-usaha ini dilakukan oleh FOMCA dan ahli gabungannya bagi memastikan kepentingan para pengguna di negara ini terbela. Namun sebagai sebuah pertubuhan bukan kerajaan, FOMCA mempunyai bidang kuasa yang terhad.
Kerajaan, melalui Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan harus ada political will untuk mengatasi masalah perumahan yang dihadapi oleh para pembeli rumah ini.
Dalam pada itu, agensi kawal selia projek perumahan di bawah Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan harus bersikap proaktif dalam mengawasi projek perumahan di negara ini. Senarai hitamkan pemaju yang gagal menyiapkan projek perumahan mengikut masa yang ditetapkan atau membina rumah yang tidak berkualiti.
Selain itu, wakil-wakil persatuan pengguna dan persatuan pembeli rumah harus menganggotai Jawatankuasa Penyelaras Projek Perumahan Terbengkalai agar kepentingan para pembeli rumah turut diambil kira.
Penubuhan Tribunal Tuntutan Pembeli Rumah, yang ditubuhkan selepas pindaan Akta Pemaju Perumahan 2002, masih tidak membantu dalam mengatasi masalah pembeli rumah. Dengan bidang kuasa terhad, iaitu mengendalikan tuntutan tidak melebihi RM25,000 dan bagi rumah yang telah siap sahaja (rumah terbengkalai tidak dikendalikan oleh Tribunal), Tribunal gagal mengatasi masalah utama pembeli rumah, iaitu rumah terbengkalai.
FOMCA amat berharap para pembeli rumah yang menghadapi masalah perumahan seperti yang dihadapi oleh Puan Norhiza Jaffar (projek perumahan terbengkalai di Lembah Beringin), Penunggu 14 Tahun dan pembeli rumah terbengkalai yang lain, menghubungi Pusat Khidmat Aduan Pengguna Nasional (NCCC) di talian 03-7877 9000 atau Persatuan Kebangsaan Pembeli Rumah bagi mendapatkan khidmat nasihat dan guaman bagi membantu menyelesaikan masalah perumahan mereka.
FOMCA menyarankan supaya konsep bina dan jual dipertimbangkan untuk diamalkan sepenuhnya dalam tempoh lima tahun akan datang. - MOHD. YUSOF ABDUL RAHMAN, Pengarah Komunikasi, FOMCA.
UTUSAN MALAYSIA - 26 Oktober 2004
Tiada ulasan:
Catat Ulasan