SEKALIPUN segelintir along (peminjam wang haram) sudah menjadi pembunuh, mereka tetap dicari orang kebanyakan terutama bagi mereka yang terdesak.
Sebagaimana diketahui umum berhutang dengan along bagaikan memetik jari, hari ini minta, hari ini juga kocek akan penuh tetapi semudah-mudah along mengeluarkan wangnya ia tetap memasang jeratnya apabila peminjam tidak dapat melangsaikan hutangnya dalam tempoh yang diberikan.
Malah tindakan ganas along tanpa perikemanusiaan itu bagaikan tidak terkawal lagi.
Kerana itu, baru-baru ini along bukan saja menunjukkan belang kepada peminjam awam tetapi sudah berani mencabar kewibawaan dua pegawai kanan polis supaya mereka tidak mengganggu-gugat aktiviti mereka.
Bayangkan dengan pegawai atasan polis pun mereka berani memberi ugutan, inikan pula dengan rakyat bawahan yang tidak mempunyai apa-apa kuasa sebaliknya dihimpit dengan keperitan hidup berpanjangan.
Maka, tidak hairan saban hari terbeliak mata masyarakat menghayati kisah along di dada-dada akhbar atupun televisyen menceritakan kisah along 'menumpahkan minyaknya'.
Apapun seganas mana along mengerjakan mangsanya ia bukan satu jalan penyelesaian.
Isunya sekarang, mengapa along tidak boleh dipisah dengan golongan susah sedangkan mereka ini sepatutnya mendapat pembelaan.
Tambah menyedihkan institusi kewangan langsung tidak memandang golongan ini biarpun mereka benar-benar memerlukan pinjaman untuk meneruskan kehidupan umpamanya sebagai penjual nasi lemak di tepi jalan.
Bercakap tentang institusi kewangan khasnya bank-bank tempatan bukan sekadar penjual nasi lemak tersebut menghadapi rintangan tetapi pekerja swasta yang berpendapatan rendah turut senasib dengan penjual nasi lemak.
Pun begitu tidak saja bank-bank banyak birokrasi bahkan agensi-agensi kerajaan pun sama. Misalnya golongan ini sukar mendapat peruntukan menerusi skim pinjaman yang diwujudkan oleh agensi kerajaan seperti Mara.
Atas sebab itu, Pengerusi Lajnah Pengguna dan Alam Sekitar PAS Pusat, Mahfuz Omar meminta institusi kewangan serta agensi kerajaan melonggarkan syarat ataupun prosedur pinjaman.
Ini katanya, dengan adanya kemudahan pinjaman sekurang-kurangnya dapat meringan mereka yang bermasalah dalam kewangan.
Namun katanya, jalan paling selamat, peminjam jangan sekali-kali mencari along untuk menyelesaikan masalah kewangan.
"Selagi ada peminjam selagi itu akan ada along," katanya.
Pengarah Komunikasi Gabungan Persatuan-persatuan Pengguna Malaysia (Fomca), Yusuff Abdul Rahman pula berkata, akta pinjaman syarikat kewangan berlesen yang sering diguna pakai oleh syarikat pinjaman haram seperti along wajar ditukarkan daripada kendalian Kementerian Perumahan dan Tempatan kepada Kementerian Kewangan supaya dapat diseliakan di bawah bidang kuasa Bank Negara sendiri.
"Kebanyakan along ini diwujudkan oleh syarikat kewangan yang tidak berlesen ini yang menimbulkan masalah kerana Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan mengalami kekurangan pegawai penguatkuasa untuk memantau syarikat terbabit.
"Sudah tentu sukar untuk pihak berkuasa mengambil tindakan apatah lagi jika along dilindungi pula oleh orang besar sedangkan kerajaan sendiri mahu wujudkan negara yang bebas daripada rasuah dan salah laku kuasa," katanya dalam satu temu bual dengan Harakahdaily.
Turut berpandangan sama dalam isu along ialah Ketua Penerangan PAS Pusat, Mazlan Aliman, yang meminta supaya kerajaan mewujudkan satu akta agar along dikenakan lesen dan semua peminjam dilindungi melalui prosedur-prosedur pinjaman wang yang diletakkan di bawah Kementerian Kewangan ataupun di bawah Jabatan Perdana Menteri (JPM).
Saranan-saranan ini sekali gus menggambarkan sistem pinjaman melalui along perlu diperkemas dengan diseliakan oleh pihak kerajaan secara sistematik agar perkhidmatan along ini terikat dengan undang-undang.
Jika along terikat dengan akta-akta syarikat yang dikawal oleh kerajaan pastinya orang yang berhutang dengannya, selamat.
Disebabkan along ini bergerak tanpa terikat dengan sebarang undang-undang keadaan ini yang menyebabkan mangsa dicengkam dengan buruan 'gila' along.
Kerana takutkan buruan along, pernah semasa saya mengendali ruangan Tabung Kemiskinan Harakah (TKH) dalam akhbar Harakah kira-kira dua tahun lalu, seorang ibu tunggal yang menjadi mangsa along merayu serta teresak-esak menangis untuk mendapatkan bantuan TKH.
Memanglah penubuhan TKH akan menghulur bantuan kepada sesiapa saja yang dalam kesusahan.
Tetapi mampukah TKH untuk membantunya kerana hutang yang pada asalnya hanya RM3,000 sudah mencecah ke angka RM15,000.
Barang diingat TKH bukan sebuah institusi kewangan tetapi adalah sebuah badan kebajikan yang dananya juga adalah hasil daripada para dermawan seluruh negara.
Masih terngiang-ngiang lagi, kata-katanya yang mempunyai empat orang anak, bahawa sudah puas beliau masuk pejabat keluar pejabat dan juga ke mana saja yang didengarinya mempunyai pusat kebajikan untuk mendapat pertolongan termasuk merayu dengan wakil rakyat.
Tetapi berapa kerat sangat yang simpati dengannya malah lebih ramai yang mendiamkan diri dan tidak kurang yang mencemuhnya.
Apatah lagi katanya, untuk mencuba nasib dengan bank-bank, sudah hampi pasti borang permohonannya dibakulsampahkan.
Ini katanya lagi, beliau bukan pekerja awam mahupun swasta dan juga ahli perniagaan yang berjaya.
Menurutnya, beliau terpaksa berbuat demikian kerana kedai videonya yang dibuka di Jalan Haji Hussain, Chow Kit, hasil pinjaman along itu telah di 'seal' oleh along.
Malah katanya, bukan setakat itu saja, rumahnya juga dilakukan sedemikian rupa.
Maka berlakulah episod kehidupannya sebagai orang 'nomad' dan tambah hiba anak-anaknya yang masih di bangku sekolah terpaksa menamatkan sekolah.
Dengan perasaan tertekan dan ketakutan beliau berkata, hidupnya buntu dan selagi hutang along tidak diselesaikan selagi itu beliau tidak bebas kerana along sudah mengugut termasuk untuk mencederakan diri dan anak-anaknya.
Itu baru seorang mangsa, tentunya ramai lagi yang senasib dengan ibu tunggal terbabit atau lebih dahsyat ada yang sudah menemui maut angkara along.
Kisah demi kisah mengenai along sepatutnya menjadi satu iktibar untuk pemerintah dan juga rakyat bagi memikirkan jalan terbaik supaya along ini menjadi sebuah institusi kewangan alternatif yang boleh melimpah kesejahteraan kepada masyarakat bukannya sebagai 'neraka dunia'.HARAKAH - 6 Oktober 2004
Tiada ulasan:
Catat Ulasan