Jelas mereka, negara mempunyai undang-undang yang cukup namun ia tidak dilaksanakan dengan sempurna menyebabkan kewujudan kementerian berkenaan tidak `dihormati' oleh para peniaga.
Kelemahan itu juga menyebabkan amaran dan ingatan kerajaan kepada peniaga agar jangan menaikkan harga barang langsung tidak dihormati.
Presiden Persatuan Pengguna Negeri Sembilan, Khairuddin Yunus berkata, masalah kenaikan harga barang sewenang-wenangnya tidak akan selesai sampai bila-bila pun sekiranya penguatkuasaan di kementerian terbabit tidak diperkasakan.
Katanya, dari dahulu sehingga kini hanya media sahaja yang `bising' dengan kenaikan harga barang tetapi pihak penguat kuasa kementerian tersebut masih tidak mampu berbuat apa-apa.
``Memang menghairankan tetapi inilah kelemahan yang perlu diperbaiki kerana tanpa tindakan tegas masalah kenaikan harga barang tidak akan dapat dibendung.
``Kita tidak boleh harapkan media sahaja, berkuasa hanya penguat kuasa,'' katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas laporan muka depan Utusan Malaysia mengenai `pesta naik harga' barangan keperluan harian bertambah rancak terutama di bandar-bandar besar dengan peningkatan sehingga 100 peratus di tempat tertentu ekoran kenaikan bahan api sebanyak lima sen pada 1 Oktober lalu.
Peniaga mendakwa kenaikan harga perlu kerana menghadapi tekanan oleh pembekal.
Presiden Persatuan Pengguna Pahang, Shaani Abdullah turut bersetuju dengan pandangan tersebut dan menyifatkan kenaikan harga barang disebabkan tiada pemantauan berterusan kementerian.
``Dasar, akta dan undang-undang kita cukup tetapi yang menghairankan mengapa tindakan ke atas mereka yang terlibat tidak diambil?.
``Keadaan ini memperlihatkan pihak terlibat gagal melaksanakan tugas dan peranan dalam mengawal kenaikan harga barang,'' ujarnya.
Presiden Persatuan Pengguna Islam Malaysia, Datuk Dr. Maamor Osman pula secara terang-terangan berkata, kelemahan pihak penguat kuasa kementerian berkenaan seolah-olah `takut' kepada para peniaga dan bukan sebaliknya.
Presiden Persatuan Pengguna Selangor dan Wilayah Persekutuan, Mohd. Yusoff Abdul Rahman juga tidak menafikan peranan penguat kuasa memberi impak yang besar dalam kenaikan dan kestabilan harga barang.
Katanya, kalau pemantauan dan penguatkuasaan dibuat secara konsisten sudah pasti para peniaga tidak berani untuk menaikkan harga barang.
``Tetapi tindakan yang dibuat nampaknya mengikut musim sedangkan pada masa inilah sepatutnya penguat kuasa melaksanakan tindakan paling tegas supaya arahan kerajaan dihormati,'' ujarnya.
UTUSAN MALAYSIA - 7 Oktober 2004
Tiada ulasan:
Catat Ulasan