Jumaat, Disember 17, 2004

Peniaga ingkar arahan -- Kesan harga minyak: Tinjauan dapati harga barang naik

Oleh: SOPI SEMAILE, ANAND KUMAR dan ABDUL MUIN SAPIDIN


KUALA LUMPUR 4 Okt. - Harga barangan, makanan dan perkhidmatan di beberapa bandar raya telah dinaikkan 10 hingga 30 peratus selepas harga bahan api naik lima sen sejak 1 Oktober lalu.

Tinjauan Utusan Malaysia termasuk di sekitar Kuala Lumpur, Petaling Jaya dan Johor Bahru mendapati kenaikan bukan sahaja melibatkan barangan runcit tetapi juga minuman dan makanan yang telah dimasak.

Harga barangan dalam tin, beg plastik dan bekas polistirena bagi mengisi makanan serta perkhidmatan turut dinaikkan.

Rata-rata para peniaga terutama di Johor Bahru dan Kuala Lumpur memberikan alasan kenaikan harga bahan api punca mereka menaikkan harga barangan, walaupun kerajaan menegaskan ia akan bertindak tegas jika kenaikan harga itu berlaku sewenang-wenangnya.

Semalam, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, kerajaan akan mengawal selia perkembangan tersebut dan tidak akan membenarkan kenaikan harga barangan atau perkhidmatan dibuat secara tidak berasas.

Kenaikan harga barangan juga dikesan oleh pasukan pemantau seluruh negara yang dibentuk oleh Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) dan Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA).

Bagaimanapun, tinjauan Utusan Malaysia hari ini di Pulau Pinang dan Kota Bharu mendapati, para peniaga di kedua-dua kawasan itu masih mematuhi arahan kerajaan dengan tidak menaikkan harga barangan.

Walaupun begitu, peniaga di Pulau Pinang tidak dapat memberi jaminan berapa lama mereka dapat bertahan dengan harga lama itu.

Peniaga di negeri itu memberitahu, sekiranya pembekal menaikkan harga, mereka juga terpaksa berbuat demikian.

Wartawan-wartawan Utusan Malaysia membuat tinjauan di beberapa lokasi di seluruh negara mendapati para peniaga kebanyakannya telah mengambil kesempatan daripada kenaikan harga petrol, diesel dan gas sebanyak 5 sen itu untuk menaikkan harga barangan dan perkhidmatan mereka.

Tinjauan di Petaling Jaya misalnya, mendapati harga teh tarik yang dijual pada harga RM1.20 segelas sebelum 1 Oktober lalu telah dinaikkan kepada RM1.50 segelas dan Nescafe O naik dari RM1 kepada RM1.20 segelas.

Nasi lemak berlauk turut menjadi mangsa kenaikan harga dari RM2.50 kepada

RM3 sepinggan.

Para peniaga berkenaan mewajarkan kenaikan harga makanan itu dengan mengaitkannya pada faktor kenaikan bahan-bahan mentah yang mereka gunakan.

Tinjauan di Pasar Baru Pudu pula, mendapati harga hasil pertanian seperti sayur-sayuran naik antara 10 hingga 30 peratus sejak dua hari lalu.

Antara yang paling ketara mengalami kenaikkan ialah terung, kobis, tomato, cili, bawang dan ubi kentang.

Sementara itu, tinjauan di pasar dan kedai-kedai runcit di sekitar Pudu dan Jalan Cheng Lock, Kuala Lumpur serta di Selangor juga mendapati harga barangan makanan dan minuman dalam tin turut mengalami kenaikan harga.

Milo 1.5 kilogram misalnya dijual dengan harga RM19.50 berbanding RM18.70 sebelum ini; Milo 500 gram dijual dengan harga RM7.70 berbanding RM7.40 sebelum ini dan milo 250 gram dijual pada harga RM4.40 berbanding RM4 sebelum ini.

Turut dinaikkan harga ialah Nescafe, selain pelbagai barangan makanan lain dalam tin.

Beg plastik bersaiz 6cm X 12cm bagi pek 100 keping dijual RM2.50 berbanding RM1.80 sebelum ini manakala bagi setiap pek 100 bekas polestrin, ia kini dijual RM2.50 berbanding RM1.50 sebelum harga minyak naik.

Tinjauan di Johor Bahru juga mendapati harga bahan makanan mentah seperti daging ayam, daging import dan sayur telah dinaikkan harga begitu ketara.

Harga seikat sawi di Johor Bahru misalnya kini naik daripada RM1.20 kepada RM2 seikat.

Pada masa yang sama kos perkhidmatan seperti tambang bas ekspres, teksi dan lori juga dijangka naik.

Tambang bas sekolah telah dinaikkan sebanyak enam peratus iaitu antara RM2 dan RM3.

Pengusaha bas ekspres dan teksi pula menuntut kenaikan tambang antara 10 dan 50 peratus, manakala lori, lima peratus.

Timbalan Presiden MTUC, Shafie BP Mamal berkata, kenaikan harga barangan berkenaan begitu ketara khususnya di restoran-restoran serta gerai makanan.

Menurutnya, ia disebabkan barangan yang dijual di premis itu seperti minuman serta makanan yang telah diproses bukan barangan kawalan dan membolehkan mereka menaikkan harga sesuka hati.

``Minuman seperti teh tarik yang asalnya RM1.20 telah naik sebanyak RM1.50, begitu juga dengan nasi lemak yang dijual pada harga RM3, telur goreng (70 sen), seketul ayam kecil (dari 50 sen ke RM1.50) dan seekor ikan sardin (RM1.20).

``Keadaan seperti ini tidak patut berlaku di Malaysia kerana kita bukan tinggal di negara `koboi' yang mana peniaga boleh sewenang-wenangnya menaikkan harga barangan,'' katanya.

Sementara itu, Pengarah Komunikasi FOMCA, Mohd. Yusof Abdul Rahman turut sependapat dengan MTUC yang mana kenaikan harga barangan makanan ketara berlaku pada masa ini iaitu 10 hingga 20 peratus.

Menurutnya, barangan itu khususnya makanan di restoran dan makanan yang dibungkus semula supaya ia kelihatan baru.

Justeru, katanya, kerajaan perlu bersungguh-sungguh memastikan para peniaga tidak bermaharajalela menaikkan harga barangan yang ternyata membebankan pengguna.

UTUSAN MALAYSIA - 5 Oktober 2004

Tiada ulasan: