Oleh Salmiyah Harun dan Anis Nazri
KUALA LUMPUR, 6 Okt (Hrkh) - Para menteri hari ini dirayu agar dapat 'turun padang' dan menjadi rakyat biasa untuk melihat dengan dekat keperitan hidup yang dialami oleh rakyat dan kesan kenaikan harga barangan ketika ini.
Setiausaha Agung, Persatuan Pengguna Islam Malaysia, Dato' Dr Maamor Osman merayu kepada Perdana Menteri dan Menteri-menteri sendiri supaya turun ke padang menghayati keperitan hidup sebagai rakyat biasa. Katanya, beliau turut meminta menteri menjalani rutin hidup sebagaimana yang dihadapi rakyat seperti beratur membeli tiket, naik bus ke tempat kerja, pergi membeli barang-barang di pasar, dan melihat sendiri cara orang berniaga.
"Dengan ini, mungkin menteri-menteri kita dapat menyelami masalah yang dihadapi rakyat bahkan boleh merasai sebagaimana yang dirasai oleh rakyat yang berpendapatan rendah,"katanya yang mengulas mengenai kenaikan harga barangan yang berlaku ketika ini.
Di samping itu katanya, golongan menteri ini juga dapat mengetahui betapa susahnya rakyat miskin hendak pergi kerja dengan bas serta terpaksa membayar tambang yang dinaikkan sewenang-wenangnya oleh pengusaha bas.
BN adalah kerajaan 'Barang Naik'
Timbalan Pengerusi Lajnah Pengguna Dan Alam Sekitar PAS Pusat, Dr Amiruddin Ahmad, pula mengulas kenaikkan harga barang ini adalah imbuhan kepada rakyat yang memberi jalan kepada Barisan Nasional (BN) dalam pilihan raya baru-baru ini.
"Kalau rakyat mengundi BN jadi bermakna rakyat terima pemerintahan BN jadi rakyat kena terima sahaja apa yang BN buat, termasuklah kenaikkan harga barang," katanya.
Beliau juga mengulas, kerajaan BN sudah memang terkenal dengan kerajaan 'Barang Naik' jadi rakyat sudah memilih kerajaan Barisan Nasional untuk memerintah, bagaimanapun rakyat harus setuju.
Jelasnya, sebagai negara pengeluar minyak seharusnya keuntungan akan disalurkan kepada kerajaan tetapi keuntungan itu tidak diagihkan kepada rakyat sebaik mungkin sehingga rakyat terpaksa menjadi mangsa kenaikkan harga barang.
"Begitu juga kenaikkan harga petrol,kerajaan dapat keuntungan dua kali ganda untung tetapi rakyat pula dua kali ganda rugi," tegasnya.
Pisahkan kementerian untuk kawal harga
Pengarah Komunikasi Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna (Fomca) Mohd Yusof Abdul Rahman, pula mencadangkan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna diasingkan menjadi dua kementerian iaitu Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kementerian Hal Ehwal Pengguna.
Tegasnya, dalam kes kenaikkan harga barang kementerian terbabit tidak ada peruntukan undang-undang untuk menyekat kenaikkan harga barang terutamanya bukan barang kawalan.
"Kalau diasingkan mungkin kenaikkan harga barang bukan kawalan ini dapat dielakkan dan tidak akan timbulnya konflik seperti ini," katanya.
Malah katanya, kementerian juga kadang-kadang boleh menggunakan bidang kuasanya di bawah Akta Perlindungan Pengguna untuk mengelak kenaikkan harga barang.
"Yang menjadi masalah pada hari ini, sepatutnya Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna menjaga kepentingan pihak pengguna tetapi dalam hak kenaikkan harga barang mereka berkata tidak ada peruntukan untuk mengelaknya,"tegasnya.
Bagaimanapun beliau mencadangkan Jabatan Hal Ehwal Pengguna diletakkan di bawah Jabatan Perdana Menteri supaya menjadi satu badan yang kuat kerana ianya memartabatkan kepentingan-kepentingan rakyat selaku pengguna.
Rakyat dibebani dengan pelbagai bayaran dan kenaikan harga kini
Timbalan Ketua Muslimat PAS Pusat, Dr Lo' Lo' Mohd Ghazali berkata rakyat sudah banyak terbeban dengan tindakan kerajaan selama ini.
Katanya, rakyat sudah rasa terbeban apabila terpaksa membayar tol apabila keluar dari rumah mereka, membayar cukai pintu, pendapatan dan jalan.
"Rakyat bayar itu semua sebagai hasil pendapatan negara. Bila harga barang naik, rakyat juga terpaksa keluar duit lebih untuk keperluan mereka," tegas beliau.
Dr Lo' Lo juga berkata, walaupun ada barangan yang naik hanya sepuluh sen ataupun seringgit, ia tetap merupakan satu nilai yang tinggi apabila dibeli dalam kuantiti yang banyak.
"Ayam, contohnya, naik 60 sen sekilo. Memang nampak macam kecil, tapi kalau orang yang mempunyai anak ramai, mana cukup ayam sekilo," tegas beliau.
Mengulas lanjut tentang sikap peniaga yang enggan mematuhi arahan kerajaan agar tidak menaikkan harga barang, Dr Lo' Lo' berkata adalah tidak adil ada pihak yang menyalahkan peniaga atau pengusaha.
"Mereka juga rakyat biasa yang mendapat sumber rezeki dengan berniaga. Jika mereka tidak menaikkan harga, mereka sendiri akan mengalami kerugian, terutamanya pekedai-pekedai runcit.
"Persoalannya di sini, di manakah tanggungjawab sosial kerajaan dalam membantu rakyat yang telah mengundi mereka dalam pilihan raya umum lalu?" tegas beliau.
Kenaikan harga petrol beri kesan pada harga barang pengguna
Seorang pengguna yang ditemui, Aziah Yusof merungut tentang harga coklat yang biasanya dibeli harga sekitar RM5 mengikut jenama, kini sudah melonjak kepada RM6.
"Itu belum lagi dikira Milo, teh, Nescafe dan barang keperluan lain yang turut dinaikkan harga. Naik memang sikit-sikit, sepuluh sen, seringgit, tetapi jika beli dalam kuantiti yang banyak seperti barang dapur, banyak juga duit dikeluarkan," tegas beliau yang sering membeli-belah di pasar raya besar.
"Saya harap kerajaan ambil perhatian serius tentang hal ini kerana rakyat sudah banyak menghabiskan duit untuk membayar cukai, tol dan sebagainya yang dikenakan ke atas rakyat," katanya lagi.
Sementara itu, ketika wakil Harakahdaily meninjau di premis perniagaan runcit, Hassan Mohammad,50, di Kajang, berkata kenaikkan minyak baru-baru ini turut memberi kesan kepada kenaikkan harga barang.
"Kita ambil daripada pembekal dengan harga mahal jadi kami terpaksa menjual dengan harga mahal, ini adalah adat berniaga, kalau tidak macama mana kami hendak dapat untung," katanya ketika ditemui.
Tambahnya, dengan wujudnya pasar raya besar yang mana menawarkan dengan harga yang jauh lebih murah berbanding dengan harga di kedai runcit, boleh menjejaskan perniagaan mereka.
"Ramai pembeli bertumpu kepada pasar raya seperti Giant, Bintang, dan Carrefour, jadi kami terpaksa menaikkan harga barang untuk kembalikan pulangan modal kami.
"Lagipun kedai-kedai runcit seperti kami, selalunya pengguna membeli barang dalam kuantiti sedikit yang perlu diguna segera antaranya kelapa, bawang, dan sayuran," jelasnya.
Hamdan Ramli, seorang peniaga kedai runcit pula berkata jika mereka terpaksa menaikkan harga barang ekoran terbeban dengan kos pengangkutan sejak kenaikan harga minyak di pasaran dunia.
"Kita bukan sengaja mahu menaikkan harga barang, tetapi kita juga akan mengalami kerugian jika masih mengekalkan harga yang sama," kata beliau yang membuka kedai sendiri di kediamannya.
Katanya, golongan peruncit macam beliau terpaksa menanggung risiko mengalami kerugian dengan munculnya pasar raya - pasar raya besar yang lebih mendapat perhatian masyarakat.
"Pasar raya seperti Carrefour, Giant, Mydin merupakan saingan kepada pekedai-pekedai runcit yang umpama 'hidup segan, mati tak mahu'," keluh beliau. - mks.
HARAKAH - 6 Oktober 2004